PRK DUN Mahkota: BN dijangka umum calon minggu depan - Utusan Malaysia

PRK DUN Mahkota: BN dijangka umum calon minggu depan

Calon BN Mahkota
JOHARI Abdul Ghani ditemui pemberita dekat Seri Morib Palm Oil Mill Sdn Bhd, Morib, di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dijangka diumumkan pada minggu depan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dua atau tiga nama individu sudah diserahkan bagi pertimbangan lanjut.

“Namun, saya tidak mahu mengulas lanjut dan biar Pengerusi BN atau BN Johor mengumumkan nanti. Ia (pengumuman calon itu) mungkin minggu depan,” katanya, ketika ditemui pemberita, hari ini.

Jelas Menteri Perladangan dan Komoditi itu, UMNO melakukan persiapan rapi dan akan berusaha keras bagi memastikan kemenangan PRK berkenaan.

Dalam pada itu, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, menyatakan senario politik negara kini menunjukkan bahawa tiada kerusi dianggap selamat dan tiada parti memandang mudah soal kemenangan.

“Sama ada majoriti besar atau kecil, tiada siapa boleh memberi jaminan untuk memenangi semula kerusi ditandingi dengan majoriti undi sama. Ia boleh naik atau turun dan perkara utamanya adalah menumpukan sepenuh perhatian kepada kempen pilihan raya,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September depan.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Johor.

DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih meliputi 61,397 pengundi biasa dan 4,510 tentera serta pasangan, 401 anggota polis dan 10 pengundi luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×