PM batalkan rombongan 68 orang mahu ke Paris

PM batalkan rombongan 68 orang mahu ke Paris

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Darussalam, Puchong, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua menteri yang mahu mengadakan lawatan rasmi ke luar negara perlu membentangkan laporan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Perdana Menteri mendedahkan pernah membatalkan lawatan yang tidak memerlukan jumlah delegasi yang tidak sepatutnya. 

“Keterlanjuran ini umpamanya ada pameran kecil di Paris tapi saya lihat daripada kakitangan kementerian dan agensi-agensi berkenaan (adalah) 68 orang yang berdaftar untuk pergi, sebahagian kecil mungkin terlibat serta diperlukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, saya ambil satu keputusan yang tegas (dengan) membatalkan seluruh lawatan itu walaupun tiket penerbangan (dan) hotel sudah disediakan. Ini sebagai mesej yang jelas. Kita bercakap soal reformasi.

“Menteri-menteri untuk melawat mesti bentang kepada Jemaah Menteri dan selalunya kita buat potongan apakah perlu dua atau tiga petugas. Kalau tidak perlu, diminta tangguh dan umpamanya disekalikan dengan lawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri yang mana memorandum persefahaman (MoU) boleh ditandatangani sekali untuk menjimatkan belanja tetapi kadang-kala mesej ini tidak jelas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam, di sini.

Tegasnya, perbelanjaan yang digunakan merupakan wang rakyat yang dipertanggungjawabkan supaya ia dibelanjakan dengan baik dan cermat.

“Semalam saya ada pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan ketua pengarah berkenaan untuk menyatakan ketegasan kita dan meminta kerjasama.

“Majoriti penjawat awam terutama yang diperingkat tinggi memahami dan menyokong tetapi pelanggaran ini tidak boleh diizinkan,” jelasnya.

Menurutnya, usaha mereformasi pentadbiran negara perlu diteruskan bagi mengelak daripada berlakunya pembaziran wang rakyat.

Perdana Menteri, berkata, beliau sudah menegaskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bahawa usaha mereformasi institusi, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mesti diteruskan.

Kata beliau, terdapat sesetengah keputusan sebelum ini memberi keuntungan kepada pihak tertentu maka ia perlu dihentikan segera.

“(Usaha) reformasi dalam jabatan kerajaan, GLC (dan) agensi-agensi mesti berterusan. Hari Rabu lalu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, kita lebih tegas, menuntut semua (untuk melakukan reformasi).

“Walaupun lembaga berkuasa tetapi kadang-kadang lembaga membuat keputusan yang memihak kepada kepentingan mereka. Oleh itu, semua projek baharu (dan) lawatan ke luar negara mesti dirtujuk kepada ketua setiausaha atau ketua pengarah dan diluluskan oleh menteri berkenaan supaya ada yang akhirnya bertanggung jawab secara langsung,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini