Hilman Idham bertanding Ketua Armada Bersatu

Hilman Idham bertanding Ketua Armada Bersatu

MUHAMMAD Hilman dalam sidang akhbar Majlis Penegnalan Calon Armada Bersatu di Petaling Jaya hari ini. - UTUSAN/NURUL NAJWA HASRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham mengumumkan bertanding jawatan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kali ini.

Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Mohamed Azmin Ali itu memberitahu menghantar borang pencalonan bagi jawatan tersebut kepada jawatankuasa pemilihan parti di ibu pejabat Bersatu, di sini, pukul 9 pagi tadi.

“Menyedari realiti dan pandangan akar umbi yang menuntut Armada bangkit sebagai pasukan lebih kuat, dinamik dan progresif, maka, dengan penuh rasa tawadu’ dan bertanggungjawab, saya menawarkan komitmen dan kepimpinan sebagai calon Ketua Armada Nasional dalam Pemilihan Bersatu 2024.

“Saya yakin, pemilihan ini akan berlangsung dengan penuh semangat kekeluargaan dalam suasana yang harmoni.

“Sesungguhnya, demokrasi yang subur dalam parti akan menjamin masa depan Bersatu sebagai wadah politik yang unggul, wibawa dan kekal menjadi pilihan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Pengenalan Calon Armada Bersatu di sini.

Beliau mendapat makluman terdapat dua pencalonan untuk pertandingan jawatan ketua Armada, namun, maklumat individu yang bakal menjadi pesaingnya belum diketahui.

“Proses pendaftaran baharu bermula dan akan berakhir pukul lima petang ini dan terdapat dua pencalonan untuk jawatan ini tetapi belum diketahui.

“Senarai akhir calon yang layak bertanding hanya akan diumum oleh jawatankuasa pemilihan nanti,” katanya.

Dalam sidang akhbar sama, beliau turut mengumumkan 14 calon lain yang akan bertanding beberapa jawatan lain di dalam sayap parti itu menerusi beberapa bahagian di dari seluruh negara.

Antara yang bertanding ialah Muhamad Amerul Muhamad bagi jawatan Pengerusi Tetap, Muhammad Syamel Md. Riduan (Timbalan Pengerusi) dan Izhar Shah Arif Shah (Naib Ketua Armada).

Pada Mac tahun lalu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengumumkan tidak mempertahan jawatannya pada pemilihan Bersatu yang akan datang, sebaliknya bakal merebut jawatan di peringkat tertinggi parti.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira usianya yang kini telah melepasi had usia untuk keahlian sayap belia Bersatu itu, seperti tertakluk dalam peraturan Armada.

Pada 10 September lalu, Wan Ahmad Fayhsal mengumumkan untuk bertanding jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti dalam pemilihan yang akan berlangsung nanti.

Pada 16 Ogos 2020, Wan Ahmad Fayhsal menang pemilihan ketua sayap Bersatu itu dan menjadi individu pertama kali menyandang jawatan melalui pemilihan parti sejak penubuhan Bersatu.

Dalam pada itu, Muhammad Hilman berkata, pemilihan Bersatu 2024 adalah pentas untuk memperkukuh parti dan menyediakan barisan kepimpinan yang terbaik sebagai persiapan untuk menang dalam pilihan raya.

“Pemilihan Bersatu kali kedua ini juga merupakan pemilihan yang amat signifikan kerana buat julung kalinya akan disertai oleh ahli-ahli yang tampil daripada pelbagai latar politik.

“Maka, pentas pemilihan ini mesti berlandaskan semangat dan prinsip perpaduan, inklusif dan keterbukaan untuk merangkul bakat dan potensi baharu dalam kalangan anak muda Bersatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×