PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membuka taman-taman haiwan bagi melindungi kepupusan haiwan liar yang semakin meruncing kerana kebanyakannya bukan berpunca daripada pemburuan haram, sebaliknya disebabkan habitatnya yang semakin terancam.
Ancaman habitat mengakibatkan haiwan liar kehilangan rantaian makanan selepas kawasan kitarannya semakin mengecil dan terhad untuk mendapatkan sumber makanan.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, negara ini tidak lagi memerlukan pembinaan bandar baharu kerana tiada keperluan dari segi populasi manusia yang tidak meningkat secara drastik.
“Kesan biodiversiti yang amat buruk pada hari ini adalah disebabkan kerakusan manusia membuka tanah-tanah baharu atas nama perladangan dan atas nama bandar baharu yang berjalan tanpa perancangan alam sekitar yang baik.
“Bandar baharu sebenarnya tidak diperlukan tetapi kemantapan bandar yang sedia ada dan penyusunan semula projek-projek perumahan yang masih banyak terbengkalai akibat faktor ekonomi semasa, perlu diberikan keutamaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini melaporkan, Malaysia berdepan krisis biodiversiti yang meruncing berikutan spesies-spesies hidupan liarnya seperti Harimau Malaya, gajah dan tapir Malaya diancam kepupusan akibat pemburuan haram serta penyeludupan.
10 spesies hidupan liar di Malaysia paling bernilai di pasaran gelap adalah Harimau Malaya (panthera tigris), gajah (elephas maximus), badak sumbu (diceros bicornis), harimau kumbang (panthera onca) dan beruang matahari (helarctos malayanus).
Selain itu, spesies lain turut tersenarai adalah orang utan, harimau dahan (neofelis nebulosa), seladang (bos gaurus) dan buaya tembaga (crocodylus porosus).
Nilai tinggi spesies-spesies ini di pasaran gelap menggambarkan betapa besarnya ancaman terhadap kelangsungan hidup mereka apabila setiap spesies menghadapi risiko akibat kegiatan penyeludupan dan perdagangan haram.
Menurut Arie, kerajaan tidak perlu membelanjakan kos yang tinggi untuk membuka ladang haiwan kerana sekiranya mereka membuka ruang pintu kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ramai yang akan menawarkan diri tanpa melibatkan kos kerajaan.
“Hukuman dan penguatkuasaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedia ada sudah cukup baik, namun negara ini sepatutnya tidak terlalu bergantung kepada pembalakan untuk meningkatkan ekonomi,” katanya.
“Kerajaan sudah boleh membuka taman-taman haiwan untuk menjalankan kerja konservasi terutama dalam kajian pembiakan haiwan supaya habitat haiwan liar ini tercipta,” ujarnya. – UTUSAN










