76,361 aduan konflik hidupan liar direkodkan sejak 2021

76,361 aduan konflik hidupan liar direkodkan sejak 2021

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 76,361 aduan konflik hidupan liar direkodkan di seluruh negara dari tahun 2021 hingga Mei 2026 dengan anggaran kerugian mencecah RM58.7 juta.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, daripada jumlah itu, 9,063 aduan direkodkan di Johor dengan anggaran kerugian sekitar RM7.5 juta.

“Dari tahun 2021 hingga Mei 2026, sebanyak 76,361 aduan konflik hidupan liar telah direkodkan di seluruh negara dengan anggaran jumlah kerugian sebanyak RM58.7 juta.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 9,063 aduan konflik telah direkodkan di Johor dengan anggaran kerugian mencecah RM7.5 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (BN–Tenggara) berkaitan keberkesanan dana tambahan Ecological Fiscal Transfer (EFT) serta pelaksanaan program komuniti perhilitan dalam menangani konflik manusia-gajah selain pelan memperluas penggunaan Pagar Elektrik Gajah (SPEG).

Arthur berkata, kerajaan melaksanakan program Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) sejak 2019 bagi menggalakkan kerajaan negeri memperkukuh pengurusan kawasan perlindungan dan usaha konservasi biodiversiti.

“Sehingga 2025, pelaksanaan EFT telah menyumbang kepada pewartaan kira-kira 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan baharu, sekali gus memperkukuh pemuliharaan habitat hidupan liar di negara ini.

“Bagi 2025 hingga 2026, sebanyak RM600,000 dana EFT telah diperuntukan untuk memperkukuh pengurusan konflik manusia dan gajah melalui pelbagai inisiatif. Antaranya melalui pelaksanaan Program Operasi Bersepadu Translokasi Gajah Negeri Johor.

“Program ini melibatkan lapan kawasan koridor laluan gajah, termasuk di Mersing, dengan sasaran memindahkan 25 ekor gajah liar ke habitat pada yang lebih sesuai. Dalam tempoh tersebut (2025-2026) sebanyak 29 ekor gajah liar telah berjaya ditangkap dan dipindahkan ke habitat yang lebih sesuai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN