PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan kini dikesan mula menyembunyikan haiwan hidupan liar di dalam bagasi sebelum diseludup keluar negara melalui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan itu dikesan pihaknya melalui beberapa Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) sejak Januari hingga April lalu.
“Dalam tempoh tersebut, sebanyak RM5.2 juta nilai rampasan membabitkan hidupan liar direkodkan.
“Selain itu, seramai 72 suspek telah ditahan dipercayai berperanan sebagai pemilik kepada barangan serta produk berkaitan hidupan liar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, antara haiwan dikesan cuba diseludup keluar antaranya ungka serta kura-kura yang dilindungi.
Beliau turut mengingatkan orang awam dan amaran keras kepada mana-mana individu yang terlibat dalam sebarang aktiviti melibatkan pemburuan haram, pemilikan, pemindahan atau pemerdagangan hidupan liar secara tidak sah.
“Ia adalah satu kesalahan serius di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta dan tidak melebihi 15 tahun penjara,” ujarnya.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan cubaan seorang lelaki warga India yang dipercayai diupah sebagai ‘keldai’ untuk menyeludup hidupan liar bagi spesies Ungka Tangan Hitam dan kura-kura Red-Eared Slider melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini.
Penahanan suspek untuk menaiki penerbangan ke Tiruchirapalli, India itu dilakukan hasil tindakan pantas Jabatan Perhilitan bersama Polis Bantuan KLIA.
Pemeriksaan pada bagasi dibawa lelaki berusia 21 tahun itu menemui seekor disyaki Ungka Tangan Hitam serta enam ekor kura-kura Res-Eared Slider. – UTUSAN










