Dokumentari ‘Itam’ bawa mesej pemuliharaan hidupan liar

Dokumentari ‘Itam’ bawa mesej pemuliharaan hidupan liar

Itam: A Sun Bear Story
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri dokumentari tempatan mencatat sejarah tersendiri menerusi penerbitan Itam: A Sun Bear Story, yang menjadi filem dokumentari penuh tempatan pertama negara dilancarkan secara serentak dalam tiga bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Langkah melancarkan tiga versi bahasa secara serentak itu bertujuan memastikan keselarasan naratif dan kedalaman emosi, sekali gus membolehkan mesej pemuliharaan hidupan liar dapat disampaikan secara lebih inklusif kepada masyarakat pelbagai latar belakang.

Kesemua versi berkenaan dihoskan serta dialih suara secara rasmi oleh personaliti televisyen terkenal, Baki Zainal.

Mengangkat kisah benar mengenai ‘Itam’, seekor beruang madu yang diselamatkan sebelum dilepaskan semula ke habitat asal di Sabah, naskhah berkenaan bukan sahaja menuntut kepakaran dari segi naratif, malah menguji ketahanan kru sepanjang proses penggambaran di alam liar.

Pengarahnya, Raymond Tan berkata, proses merakam kehidupan haiwan liar seperti beruang matahari bukannya satu tugas mudah kerana ia tidak seperti mengendalikan pelakon manusia.

“Cabaran melakukan penggambaran dalam satu rakaman sahaja merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh kru produksi.

“Ini kerana haiwan seperti Itam tidak akan mengikut arahan, sekali gus menekankan kepentingan untuk memastikan rakaman pertama itu dilaksanakan dengan sempurna,” katanya ketika ditemui dalam sidang media, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, cabaran merakam pergerakan haiwan, Raymond berkata, kru produksi juga terpaksa berdepan dengan pelbagai risiko logistik dan ketidaktentuan cuaca, terutamanya ketika sesi penerbangan helikopter.

“Pengasas Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC), Dr. Wong Siew Te sebelum itu telah menasihatkan kami bahawa banyak perkara mungkin boleh berlaku ketika penerbangan helikopter.

“Ia kerana penerbangan itu merentasi Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin yang amat besar, ditambah pula dengan cuaca yang tidak boleh dijangka walaupun penerbangan itu hanya mengambil masa sepuluh minit sahaja.

“Kami juga menghabiskan masa selama enam bulan untuk mengangkut kru produksi ke kawasan berkenaan, jadi segalanya perlu dilakukan dengan pantas dan teliti,” katanya ketika ditemui dalam sidang media.

Dokumentari terbitan Brainchild Pictures dengan kerjasama Tourism Malaysia itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 23 Julai ini.

Naskhah yang merakamkan keindahan BSBCC Sepilok dan Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin di Sabah itu turut menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan mengangkat beruang matahari, iaitu spesies beruang terkecil di dunia sebagai ikon menerusi maskot rasmi Wira dan Manja.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN