402 kanak-kanak mungkin anak ahli GISBH

402 kanak-kanak mungkin anak ahli GISBH

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis tidak menolak kemungkinan 402 kanak-kanak dipercayai mangsa eksploitasi yang diselamatkan dalam serbuan di 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan kelmarin, merupakan anak-anak ahli organisasi di bawah syarikat GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Kesemua kanak-kanak itu ditempatkan di pusat jagaan dipercayai tidak berdaftar yang mana proses tersebut juga pernah dilalui ibu bapa mereka ketika berada dalam pertubuhan yang pernah diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak berusia di antara enam sehingga 17 tahun yang sepatutnya bersekolah, tidak dihantar ke sekolah sebaliknya didedahkan dengan doktrin atau ajaran tertentu berkaitan agama Islam di madrasah-madrasah yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan lanjut mengenai kes itu masih berjalan dan proses dokumentasi serta saringan kesihatan terhadap kesemua kanak-kanak terlibat sedang berjalan.

Kata beliau, proses dokumentasi itu memerlukan masa yang panjang antara tujuh sehingga 12 hari bagi semakan latar belakang mereka dapat dilakukan dengan teliti.

“Beri kami masa untuk selesaikan proses ini dahulu bagi melihat siapa ibu bapa mereka, tahap kesihatan dan sudah pasti perkara ini semuanya perlu dinilai sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Buat masa ini, kanak-kanak ini berada di bawah pemantauan kita dengan bantuan daripada agensi lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Mengulas lebih lanjut, Razarudin menegaskan, siasatan kes itu termasuk memanggil dan mengambil keterangan pengurusan tertinggi termasuk Pengarah Eksekutif GISB dalam masa terdekat.

Menurut beliau, siasatan polis perlu teruskan bagi melihat apa lagi tindakan yang boleh diambil terutamanya dari segi pendidikan.

“Kita tahu yang berumur sepatutnya bersekolah, tetapi tidak ke sekolah dan dia ada pendidikannya sendiri. Kita mungkin akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan juga selain melihat adakah rumah amal ini didaftarkan,” tambahnya

Razarudin bagaimanapun, beliau enggan mengesahkan sama ada kesemua mereka ini akan ditahan atau tidak memandangkan siasatan masih berjalan.

“Kesemua 171 individu terdiri penjaga, guru agama serta pengerusi kesemua rumah amal yang beroperasi di Hulu Selangor, Klang Utara, Shah Alam, Sepang, Kajang, Petaling Jaya, Subang Jaya ini telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Ia bagi siasatan lanjut mengikut Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792]; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa dan soal siasat masih berjalan ketika ini,” jelasnya.

Sementara itu, GISBH menafikan dakwaan rumah amal kendalian pihaknya terbabit dalam mendidik kanak-kanak di bawah jagaannya dengan amalan seks luar tabii seperti yang tular di media sosial.

Syarikat itu dalam satu kenyataan menyifatkan tuduhan tersebut adalah berat dengan niat menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat sekali gus mewujudkan persepsi negatif terhadap GISBH.

Kelmarin, polis menyerbu 20 rumah amal masing-masing 18 buah di Selangor dan dua di Negeri Sembilan kerana disyaki terlibat dengan pengabaian serta penganiayaan, amang seksual dan juga perbuatan cabul terhadap kanak-kanak berusia antara satu tahun hingga 17 tahun.

Ia selepas polis menerima laporan polis berkaitan dakwaan itu di Port Dickson dan beberapa laporan sama turut dibuat di beberapa tempat selepas itu pada 2 September lalu.

Antara modus operandi yang disyaki dijalankan di premis tersebut adalah mangsa diajar dan dididik cara-cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat pula oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN