CEO GISBH, anak pengasas Al-Arqam keluar penjara disambut keluarga

CEO GISBH, anak pengasas Al-Arqam keluar penjara disambut keluarga

AHLI Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) berpelukan bersama ahli keluarga setelah dibebaskan selepas menjalani tahanan selama 13 bulan dan 20 hari di Kompleks Penjara Kajang di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib Ashaari serta 12 lagi ahli GISBH keluar dari Kompleks Penjara Kajang kira-kira pukul 5.40 petang tadi.

Mereka disambut oleh ahli keluarga yang telah menunggu di kawasan parkir di hadapan pintu masuk Penjara Kajang sejak pagi tadi.

Nasiruddin, 66, turun dari bas mendahului yang lain dan menaiki kerusi roda sebelum ditolak masuk ke dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Menurut peguam yang mewakili semua tertuduh, Datuk Rosli Kamaruddin, kesemua 22 tertuduh-tertuduh bebas dan boleh pulang ke rumah masing-masing bermula hari ini selepas pihak pentadbiran penjara melengkapkan proses pelepasan dan pengembalian wang jaminan.

Kesemua mereka sebelum ini dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Kesemua individu yang berada dalam reman selama satu tahun, satu bulan dan 20 hari dibebaskan kerana tempoh pemenjaraan berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada September 2024.

Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah serta keinsafan kesemua tertuduh.

Terdahulu, kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menjadi ahli kepada pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Pada 30 Oktober lalu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan mahkamah bahawa pihak mereka telah menerima representasi yang dikemukakan dan menawarkan pertuduhan pilihan.

Pertuduhan pilihan dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-dua sekali.

Sebelum ini kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Jalan Desa, Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN