KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti representasi kedua dikemukakan seorang warga emas yang juga ahli GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) berhubung pertuduhan memiliki 38 bahan penerbitan berkaitan Al-Arqam, tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa di hadapan Majistret Farah Nabihah Mohammad Dan, di sini hari ini.
Terdahulu, peguam bela, Boestamam Ahmad yang mewakili tertuduh, Aisya Bula Tajudin, 60, memohon penangguhan perbicaraan kerana pihaknya telah menghantar representasi kedua.
Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan hari ini dan esok untuk perbicaraan kes itu.
“Memandangkan pihak pembelaan telah mengemukakan semula representasi kepada AGC, kami memohon satu tarikh lain bagi sebutan semula kes selain memberi ruang kepada AGC untuk meneliti semula pertuduhan,” kata peguam itu.
Majistret Farah Nabihah menetapkan 22 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mengetahui status representasi berkenaan.
Mahkamah turut menetapkan 2 dan 3 April 2026 sebagai tarikh perbicaraan.
Sementara itu, ketika ditemui selepas prosiding, Boestamam berkata, representasi kedua dihantar kepada AGC pada 20 November lalu susulan representasi pertama yang ditolak pada Disember 2024.
Mengikut pertuduhan, Aishah didakwa memiliki 38 hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam antaranya Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi, Khutbah Aidilfitri 1413 Hijrah, Siri Terkini Era kasih Sayang “Abuya Pemimpin Kasih Sayang” dan Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya, tanpa sebab yang munasabah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sungai Penchala, Brickfields di sini, pada 11.30 pagi, 21 September 2024
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










