KAJANG: “Saya mengaku kerana saya memang bersalah dan mahu pulang ke jalan yang benar. Sejak setahun (ditahan reman), saya sudah tidak ada apa-apa dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).”
Itulah kata-kata bekas akauntan GISBH, Hamimah Yakub, 72, yang ditemui media selepas mengaku bersalah atas pertuduhan anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama ialah tujuh lagi wanita yang kesemunya didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang di sini, hari ini.
Hamimah turut mengakui kesilapan lampau dan berazam untuk tidak lagi terlibat dalam sebarang kegiatan atau fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Saya sudah tidak ada kaitan dengan GISBH. Dalam tempoh jaminan pun, saya menjaga hubungan dan tidak lagi berurusan dengan mereka,” katany.
Pada prosiding hari ini, wanita itu hadir bersama peguam-peguam belanya, Muhammad Nor Tamrin dan Kamal Hisham Ja’afar.
Menurut Muhammad Nor, anak guamnya merupakan antara tertuduh terawal yang diberikan peluang oleh mahkamah untuk dibebaskan dengan ikat jamin pada 13 Januari 2025 selepas menunjukkan kerjasama baik kepada pihak berkuasa.
“Sejak tarikh itu, beliau telah mengikuti program pemulihan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bawah seliaan Bahagian Pemulihan Akidah yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Perdana Menteri yang memfokuskan kepada pemulihan fahaman menyeleweng,” katanya.
Peguam itu berkata, anak guamnya telah mengikuti kesemua sesi termasuk bimbingan agama, kaunseling dan pemantapan akidah yang dikendalikan oleh tenaga pengajar Jakim serta institusi Islam tempatan.
“Beliau bukan sahaja mematuhi setiap arahan yang diberikan, malah menunjukkan perubahan ketara dalam sikap dan kefahaman agama. Hamimah kini benar-benar insaf,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Nor meminta semua pihak agar menghentikan sebarang spekulasi atau persepsi negatif terhadap tertuduh yang telah pun mengaku bersalah dan menjalani proses pemulihan secara sah.
“Kita tidak mahu masyarakat terus menghukum mereka. Sebaliknya, berilah peluang untuk mereka memperbaiki diri dan menyumbang semula kepada masyarakat melalui jalan yang benar,” katanya.
Selain lapan wanita itu, Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar turut menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadap 13 tertuduh lelaki atas pertuduhan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Antara yang mengaku bersalah ialah Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib Ashaari.
Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Latifah berkata, mahkamah mengambil kira tempoh tahanan reman antara enam hingga 13 bulan serta keinsafan yang ditunjukkan semua tertuduh dan oleh itu mereka dibebaskan hari ini selepas urusan pentadbiran selesai.
Kesemua tertuduh lelaki telah berada dalam tahan sejak September 2024. -UTUSAN









