UMNO Sabah ragui kejayaan kerajaan noktahkan miskin tegar

UMNO Sabah ragui kejayaan kerajaan noktahkan miskin tegar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: UMNO Sabah mempertikai kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai kejayaan kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar di negeri ini pada hujung Julai.

Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir berkata, kenyataan yang dibuat itu amat meragukan kerana data yang ada masih memperlihatkan daerah seperti Lahad Datu berada dalam keadaan miskin.

“Ini tidak termasuk di daerah-daerah lain yang tidak disenaraikan namun, masih ada rakyat yang berada dalam kelompok miskin tegar.

“Apabila pengumuman seperti ini dibuat, memang agak luar biasa pencapaiannya namun, apa yang kita bimbang ia sekadar retorik di atas kertas sahaja. Pengumuman sebegini hanya untuk menyedapkan mata dan telinga rakyat mendengar sedangkan realitinya jauh berbeza,” katanya semasa mengulas tentang pengumuman Ketua Menteri mengenai kejayaan kerajaan negeri menoktahkan kemiskinan tegar pada Julai.

SUHAIMI NASIR

Ahli Parlimen Libaran berkata, kenyataan yang dibuat perlu disokong dengan data yang tepat dan ditunjukan kepada umum untuk memberikan keyakinan kepada rakyat Sabah.

“Jika kenyataan ini benar berdasarkan kepada data yang sebenar maka, rakyat Sabah sudah pasti kagum dengan pencapaian drastik kerajaan negeri kerana dapat mengeluarkan rakyat Sabah dari garis kemiskinan tegar dalam tempoh singkat.

“Sekiranya isu kemiskinan tegar ini sudah diselesaikan maka, kerajaan perlu menyelesaikan masalah insfrastruktur asas seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan raya serta masalah pengganguran di negeri ini,” katanya.

Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri menyasarkan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah menjelang hujung bulan Julai.

Semalam, Hajiji berkata, terdapat seramai 22,510 ketua isi rumah (KIR) disenaraikan dalam bilangan miskin tegar yang terkunci (locked figure) pada 31 Januari 2023.

HAJIJI NOOR

Susulan itu, Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) berkolaborasi dengan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bagi pelaksanaan gerak kerja lapangan untuk tujuan profiling, pemutihan dan pemadanan bantuan kepada 22,510 KIR.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.85 juta sebagai bantuan tambahan kepada 1,147 KIR miskin tegar pada 23 Julai lalu. Dengan itu, miskin tegar dalam bilangan terkunci telah berjaya dinoktahkan.

Namun, data dinamik dalam pangkalan data e-Kasih menunjukkan seramai 4,634 KIR masih berstatus miskin tegar dan ini adalah permohonan baharu yang berdaftar dalam sistem berkenaan. Data tersebut sedang dipantau oleh Sekretariat SMJ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN