KOTA KINABALU: UMNO Sabah perlu menerima hakikat bahawa peranannya dalam landskap politik negeri kini tidak lagi seperti era awal kemasukannya, sebaliknya hanya berfungsi sebagai pelengkap dalam gabungan kerajaan negeri sedia ada.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, UMNO memasuki Sabah pada tahun 1991 atas jemputan Allahyarham Tun Datu Mustapha Harun yang ketika itu memimpin Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bagi menyatukan sokongan Bumiputera Islam serta memainkan peranan dominan dalam politik negeri.
Namun beliau berkata, keadaan politik semasa memperlihatkan perubahan ketara apabila masyarakat Bumiputera kini berpecah kepada beberapa blok politik, sekali gus menjadikan UMNO bukan lagi satu-satunya wadah penyatuan seperti sebelum ini.
“UMNO Sabah tidak lagi memainkan peranan dominan sebaliknya menjadi pelengkap yang menyokong kerajaan negeri diterajui serta ditunjangi oleh gabungan parti tempatan.
“Masa depan Umno bergantung kepada penerimaan realiti ini serta kerjasama strategik bagi memperkukuh perpaduan, pembangunan Sabah dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan.
Salleh sebelum ini berkata, UMNO perlu menilai semula peranannya di Sabah dan menegaskan parti itu mesti melihat ke hadapan dan membuat keputusan berdasarkan realiti politik semasa.
Ia susulan prestasi buruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 tahun lalu, menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan memperoleh jumlah kerusi terbesar, manakala (BN) menang enam DUN. PKR pula hanya menang satu kerusi. – UTUSAN










