TAWAU: UMNO Sabah menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan menyerahkan pelaksanaan projek bekalan air luar bandar (BALB) kepada kerajaan Sabah yang disifatkan sebagai langkah strategik bagi memperkukuh keupayaan negeri dalam menangani isu bekalan air.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop berkata, pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu membabitkan 83 projek dengan nilai keseluruhan mencecah RM4.06 bilion.
Katanya, inisiatif itu diyakini dapat mempercepat penyelesaian masalah bekalan air yang sudah sekian lama membebani rakyat di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.
“Isu bekalan air di Sabah bukan sahaja membabitkan aspek teknikal tetapi turut merangkumi cabaran struktur dan faktor geografi yang unik.
“Penyerahan kuasa pelaksanaan kepada kerajaan negeri adalah langkah tepat kerana ia membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas dan bersasar selari dengan keperluan sebenar di lapangan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, langkah itu juga selaras dengan semangat Malaysia Agreement 1963 (MA63) yang menekankan kepentingan autonomi Sabah dalam mengurus hal ehwal pembangunan negeri khususnya melibatkan kemudahan asas.
Samasuddin turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas kepercayaan yang diberikan kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan projek berskala besar dan kritikal.
Katanya, fokus utama selepas ini adalah memastikan setiap projek dilaksanakan secara cekap, telus dan berintegriti supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat tanpa sebarang kelewatan atau ketirisan.
“UMNO Sabah komited untuk terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memastikan agenda pembangunan negeri dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta masa depan Sabah yang lebih mampan,” katanya. – UTUSAN










