UMNO Sabah teguh pendirian bela Institusi TYT, MA63

UMNO Sabah teguh pendirian bela Institusi TYT, MA63

SAMASUDDIN YUSOP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: UMNO Sabah menjadikan ulang tahun ke-80 parti itu hari ini sebagai medan memperteguh pendirian terhadap Institusi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan hak negeri berkenaan berteraskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop berkata, dua perkara itu menjadi teras perjuangan UMNO Sabah dalam memastikan keharmonian negeri dan kepentingan rakyat terus terpelihara.

Beliau berkata, Institusi TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah perlu dihormati seluruh rakyat kerana ia melambangkan perpaduan, kestabilan dan kelangsungan demokrasi berperlembagaan di Sabah.

“UMNO Sabah berdiri teguh mempertahankan keluhuran institusi ini demi memastikan keharmonian dan kestabilan negeri terus terjamin.

“Institusi TYT Negeri Sabah adalah lambang perpaduan rakyat dan kelangsungan sistem demokrasi berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Samasuddin berkata, UMNO Sabah turut kekal menjunjung semangat MA63 sebagai asas pembentukan Malaysia dan komited memperjuang hak rakyat Sabah termasuk hak Bumiputera secara adil serta berhemah.

Katanya, kestabilan politik juga perlu dipelihara supaya agenda pembangunan negeri dapat diteruskan tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.

“Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri perlu terus diberi ruang untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat,” jelasnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN