KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersedia mengadakan perbincangan dengan kumpulan yang mendakwa sebagai kerajaan dalam buangan (government in exile) bagi memahami isu dibangkitkan, termasuk berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, rakyat Sabah dan Sarawak di luar negara disaran menggunakan saluran rasmi bagi menyuarakan ketidakpuasan hati dan mendapatkan penjelasan kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk berdialog dengan kumpulan terbabit, malah perbincangan dapat membantu menyampaikan maklumat yang mungkin tidak diketahui mereka.
“Setakat ini, kita belum merancang untuk mengambil sebarang tindakan. Namun, saya fikir jika ada ruang untuk kita berhubung atau mengadakan perbincangan dengan kumpulan-kumpulan ini, itu adalah lebih baik.
“Kita boleh membuka ruang perbincangan kerana mungkin ada maklumat yang tidak sampai kepada mereka,” katanya ditemui selepas menyempurnakan Program Jelajah Aku Kasih Malaysia @ Sabah Bersama Komuniti Sepanggar di Dewan Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Mustapha berkata, beliau mengikuti perkembangan kumpulan berkenaan dan mengakui terdapat rakyat Sabah yang terbabit, namun percaya majoriti rakyat Sabah dan Sarawak masih memilih saluran rasmi untuk menyelesaikan isu berbangkit.
Katanya, kerajaan komited melaksanakan MA63, dengan Perdana Menteri menunjukkan kesungguhan tinggi dalam menangani perkara berkaitan perjanjian itu.
“Kalau kerajaan tidak mendengar, mungkin lain ceritanya, tetapi kerajaan mendengar. Saya sendiri sebagai menteri yang bertanggungjawab dapat melihat kesungguhan yang amat tinggi daripada Perdana Menteri untuk melaksanakan MA63 ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan golongan belia Sabah dan Sarawak di luar negara supaya memberi ruang kepada kerajaan menyelesaikan isu menerusi proses sedia ada.
Menurutnya, perpaduan dan kedaulatan negara perlu diperkukuh bagi mengelakkan perpecahan yang boleh membuka ruang kepada campur tangan pihak luar.
Baru-baru ini, tular jemputan di Facebook bagi mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan Parlimen Victoria, Melbourne, Australia, pada 24 Oktober ini oleh kumpulan berkenaan. – UTUSAN











