PONTIAN: Ahli UMNO di Sabah perlu menerima keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti dalam menentukan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November ini.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya tersebut kini berada pada tahap memasuki fasa seterusnya.
Menurut beliau, keputusan pemilihan calon dibuat selepas meneliti pandangan serta pertimbangan daripada pelbagai pihak sama ada di peringkat UMNO Sabah dan UMNO Pusat.
“Saya berharap siapa pun yang telah diputuskan menjadi calon perlu diterima, keputusan dibuat oleh negeri dan juga pusat, setelah menilai kiri, kanan, depan, belakang dan semua sudut,” katanya selepas merasmikan Jalinan Ukhuwah dan Festival Budaya Bugis di Santai Homestay Kampung Parit Betak, Benut, di sini, hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, menjadi calon bukan perkara mudah kerana kehidupan mereka selepas ini bukan untuk keluarga tetapi milik rakyat.
“Kalau dulu masa banyak untuk keluarga, selepas ini tiada lagi, bila jadi calon mereka perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan, saya ucapkan selamat berjuang kepada mereka,” katanya.
Katanya, mereka yang tidak terpilih menjadi calon pula, perlu terus setia kepada parti dan memberikan sokongan dan kerjasama bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) kelak.
“Kepada yang tidak terpilih sebagai calon, jangan melakukan sabotaj kepada calon dan parti, mungkin rezeki mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang,” katanya.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, BN dijangka mengumumkan nama calon dan kerusi ditandingi pada PRN Sabah seminggu sebelum hari penamaan calon
Ahmad Zahid turut mengesahkan, BN tidak akan bertanding di semua 73 kerusi DUN di Sabah pada PRN tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini hari pengundian bagi PRN Sabah Ke-17, penamaan calon pada 15 November dan tarikh pengundian awal pada 25 November. DUN Sabah dibubarkan pada 6 Oktober lalu. – UTUSAN










