Tuntutan Sabah modal permainan politik Filipina

Tuntutan Sabah modal permainan politik Filipina

LAPORAN muka depan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tuntutan Fi­lipina ke atas Sabah adalah modal permainan politik di negara itu setiap kali pilihan raya diadakan.

Malah, mana-mana ahli politik Filipina yang bertanding dikatakan menjadikan tuntutan ke atas Sabah sebagai modal dan manifesto mereka.

Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, tuntutan ke atas Sabah sentiasa timbul disebabkan politik dalaman Filipina itu sendiri.

Katanya, isu tersebut memberi tempias kepada Malaysia walaupun dari segi undang-undang antarabangsa adalah sukar untuk Filipina mendapatkan hak atau menuntut Sabah.

“Tuntutan ke atas Sabah ini menjadi satu senjata yang amat tajam untuk menarik perhatian pengundi terutama sekali bagi kawasan-kawasan di selatan Fi­lipina seperti Mindanao.

“Isu ini tetap digunakan, akan tetapi hubungan antara Kuala Lumpur dan Filipina harus dijaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bertegas tidak akan berbincang sebarang isu berkaitan kedaulatan Sabah dengan mana-mana pihak.

Menurut Perdana Menteri, beliau tidak akan melayan sebarang desakan Filipina untuk menuntut Sabah dan tidak mungkin terlibat dalam apa-apa rundingan melibatkan hak serta kedaulatan negara.

“Kerajaan tidak akan bertolak ansur (walaupun) satu inci tanah rakyat kita dan tidak mungkin terlibat dalam apa-apa rundingan melibatkan hak dan kedaulatan negara,” tegas beliau.

Sementara itu, pakar Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir juga tidak menafikan isu tuntutan ke atas Sabah kerap timbul setiap kali berlakunya pilihan raya di Filipina.

“Selagi tidak menang tuntutan itu, mereka akan sentiasa menuntut demi kepentingan politik bagi menunjukkan ia adalah satu isu antarabangsa yang perlu dilihat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN