Teck Guan Cocoa Village permata tersembunyi ekopelancongan Sabah

Teck Guan Cocoa Village permata tersembunyi ekopelancongan Sabah

HONG Kim Fah (tengah) bersama kakitangan Teck Guan Cocoa Village, memberi keterangan mengenai koko kepada pelancong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Terletak jauh daripada kesibukan bandar, destinasi berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung menikmati kehijauan hutan, air terjun dan kehadiran burung enggang, malah memperkenalkan mereka kepada perjalanan koko daripada pokok sehingga menjadi produk coklat.

Pengurus Operasi Teck Guan Cocoa Village, Joel Lee Thau Fah berkata, destinasi berkenaan pada asalnya lebih tertumpu kepada aktiviti kelapa sawit sebelum dibangunkan secara berperingkat sebagai lokasi pelancongan berteraskan koko dan pemulihan alam sekitar.

“Ketika ini, kami menerima kira-kira 3,000 pengunjung sebulan dan jumlah itu dijangka meningkat setiap tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelancong datang dari seluruh pelosok dunia termasuk Eropah, Amerika Syarikat dan negara Asia Tenggara, manakala pelancong tempatan juga antara penyokong paling tegar kami,” katanya.

Menurutnya, pengunjung dari Semenanjung juga semakin kerap berkunjung ke destinasi itu, selain pelancong dari Tawau sendiri.

Joel berkata, Teck Guan Cocoa Village turut menawarkan pelbagai aktiviti selain tarikan air terjun dan pemerhatian burung enggang, termasuk lawatan ke tapak semaian bunga bagi memberi peluang pengunjung mempelajari teknik penanaman yang betul serta mengenali pelbagai spesies bunga.

Katanya, pengunjung yang menggemari aktiviti lasak pula boleh menyertai pakej meredah hutan yang disediakan di dua lokasi, iaitu kawasan Batu Bersusun dan air terjun, selain meneroka kawasan hutan simpanan Teck Guan.

“Burung enggang badak juga menjadi antara tarikan di sini kerana kawasan ini mempunyai banyak sumber makanan semula jadi berikutan kewujudan pelbagai tanaman dan kawasan penyelidikan serta pembangunan (R&D) pertanian.

“Selain burung enggang, terdapat pelbagai spesies burung lain yang boleh dilihat di kawasan ini,” katanya.

 

Pelancong dari Singapura terpesona dengan keindahan air terjun di Teck Guan Cocoa Village.

 

Sementara itu, Joel berkata, pihaknya mempunyai beberapa perancangan bagi memperkukuhkan lagi Teck Guan Cocoa Village sebagai destinasi ekopelancongan pada masa hadapan.

Kata beliau, antaranya termasuk konsep Farm to Table yang membolehkan pelancong menikmati makanan segar yang dihasilkan daripada tanaman di kawasan berkenaan.

“Kami juga merancang mewujudkan Koko Experience Center yang kami harap dapat menjadi antara tumpuan utama pelancongan di Sabah.

“Selain itu, pihak pengurusan turut mempunyai inisiatif untuk mewujudkan pusat perlindungan gajah kerana melihat populasi gajah di kawasan Tawau semakin terancam,” katanya.

 

Beliau berkata, pelbagai aktiviti lasak turut dirancang bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung yang ingin meneroka alam semula jadi.

Menurutnya, pihaknya juga mengusahakan tanaman lain seperti durian dan mangga sebagai sebahagian daripada pembangunan sektor pertanian dan produk hiliran.

“Kami turut mahu bekerjasama dengan agensi pelancongan tempatan. Tahun ini, kami melancarkan inisiatif Tawau Tourism yang menghimpunkan pelbagai agensi dan pengusaha.

“Melalui kerjasama ini, kami mahu mempromosikan hasil kraftangan tempatan serta mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Dalam bidang pertanian pula, Joel berkata, pihaknya sedang menjalankan kajian untuk memperkenalkan amalan agro yang lebih lestari, termasuk penggunaan baja karbon yang dibangunkan syarikat untuk pelbagai jenis tanaman.

Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan visi pihaknya untuk membangunkan kawasan berkenaan secara lebih mesra alam dan mampan.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Tony Koh Kian Leong, menyifatkan Teck Guan Cocoa Village sebagai antara destinasi yang mempunyai nilai besar dalam landskap ekopelancongan Sabah.

Beliau berkata, keistimewaan lokasi itu terletak pada gabungan alam semula jadi, pertanian dan aktiviti berkaitan koko yang memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

“Teck Guan Cocoa Village bukan sekadar destinasi berkaitan tanaman koko, malah boleh dianggap sebagai antara permata tersembunyi yang sangat bernilai di Sabah.

“Pengunjung dapat menikmati ketenangan alam, bunyi air terjun dan kehijauan hutan, selain melihat burung enggang serta ikan kelah yang diternak di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut Tony, elemen koko pula memberikan identiti tersendiri kepada destinasi berkenaan kerana pengunjung berpeluang melihat pokok koko, memahami proses penanamannya dan mengetahui bagaimana hasil pertanian itu diproses menjadi pelbagai produk.

Katanya, gabungan alam semula jadi dan pengalaman berkaitan koko menjadikan kunjungan ke lokasi berkenaan bukan sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya turut mempunyai nilai pendidikan.

Pelancong dari Kuala Lumpur, Samantha Lau berkata, pengalaman melihat sendiri proses menghasilkan coklat daripada koko memberi pengalaman baharu kerana sebelum ini dia hanya mengenali buah koko tanpa mengetahui proses panjang untuk menghasilkan coklat.

“Saya sangat suka proses membuat koko kerana sebelum ini saya pernah melihat buah koko tetapi tidak tahu prosesnya begitu banyak dan rumit untuk menghasilkan coklat.

“Bagi saya, pengalaman membuat sendiri coklat di sini sangat berharga kerana saya tidak pernah mendapat pengalaman seperti ini di tempat lain,” katanya.

Samantha yang sudah kali kedua berkunjung ke Tawau berkata, kunjungan ke Teck Guan Cocoa Village adalah pengalaman pertamanya di lokasi berkenaan.

Bagi pelancong dari Singapura, Rebecca Tan, suasana semula jadi di Teck Guan Cocoa Village memberikan peluang untuk berehat daripada kehidupan bandar yang pantas.

“Saya rasa sangat tenang kerana tempat ini dikelilingi hutan. Saya datang dari Singapura yang banyak bangunan dan kehidupan yang pantas, jadi tempat seperti ini sangat bagus untuk berehat dan menenangkan fikiran.

“Persekitaran semula jadinya juga sangat menarik kerana di Singapura tidak biasa melihat keadaan seperti ini. Ia benar-benar menyegarkan,” katanya.

Rebecca berkata, beliau pada mulanya tidak menyangka Tawau mempunyai destinasi seperti itu dan berhasrat mencadangkannya kepada rakan serta keluarganya.

Sementara itu, seorang lagi pelancong dari Kuala Lumpur, Johnathan Khor berkata, pengalaman mempelajari proses menghasilkan koko serta suasana semula jadi di lokasi itu menjadi antara tarikan utama.

“Tempat ini sangat cantik dan proses membuat koko sangat menarik kerana kami dapat belajar banyak perkara yang sebelum ini tidak pernah kami lihat.

“Suasana di sini sangat santai dan sesuai untuk kanak-kanak mahupun orang tua. Saya rasa jika datang lagi ke Sabah, saya akan mengajak lebih ramai orang berkunjung ke sini,” katanya.

Dengan gabungan alam semula jadi, koko, pertanian, kepelbagaian flora dan fauna serta aktiviti pengalaman, Teck Guan Cocoa Village dilihat mempunyai potensi untuk terus berkembang sebagai destinasi ekopelancongan yang menawarkan sesuatu yang berbeza kepada pelancong.

Lebih penting, pembangunan destinasi itu memperlihatkan potensi Tawau untuk diketengahkan bukan sahaja melalui makanan dan tarikan pantainya, tetapi juga menerusi khazanah alam dan pengalaman pertanian yang dekat dengan kehidupan masyarakat setempat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN