PETALING JAYA: Biro Perundangan dan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan, tuduhan terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Akta Hasutan sebagai diktator.
Timbalan Pengerusinya, Sasha Lyna Abdul Latif berkata, kata-kata yang dilafazkan Muhyiddin dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri merupakan fakta dan sejarah.
Menurutnya, tidak syak lagi Muhyiddin juga telah mempersembahkan lebih 112 akaun bersumpah (SD) kepada Istana Negara dengan beberapa laporan media ketika itu turut mengesahkan perkara terbabit.
Selain itu, katanya, fakta lain adalah Muhyiddin juga telah mengemukakan kesemua 115 SD kepada polis apabila beliau dipanggil untuk memberi keterangan.
“Di bawah Akta Hasutan, perkataan yang dilafazkan mestilah bermaksud mempunyai kecenderungan menghasut dan Seksyen 3 menyatakan bahawa kecenderungan menghasut bermaksud perkataan yang diucapkan mesti membawa kebencian, penghinaan, menimbulkan rasa tidak puas hati atau menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap subjek (Yang di-Pertuan Agong).
“Dalam banyak kes, mahkamah telah mentakrifkan ketidakpuasan hati dalam konteks Akta Hasutan bermaksud ketidaksetiaan dan permusuhan. Ini tidak pernah berlaku di sini (dalam ucapan Muhyiddin).
“Isu utama adalah hakikat Perikatan Nasional (PN) telah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila Parlimen tergantung. Kesemua 115 SD itu diserahkan kepada Istana Negara.
“Sekali lagi, pada November 2022 apabila banyak kenyataan dikeluarkan oleh Muhyiddin sendiri dan PN mengenai ini, tidak pernah ada sebarang dakwaan menghasut terhadapnya.
Tetapi tiba-tiba sekarang, ahli politik Madani (kerajaan) memulakan kempen yang dirancang untuk Muhyidin didakwa di bawah Akta Hasutan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut ketika memberi ceramah di Felda Perasu di sini pada 14 Ogos lalu.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik. Mohd. Shukri.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa menyebut perkataan menghasut yang mendakwa beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut, Sasha Lyna berkata, siasatan itu jelas merupakan siasatan bermotifkan politik terhadap ketua blok pembangkang di negara ini.
“Sebelum PRU15, kami telah diberi jaminan dan dijanjikan oleh PKR dan DAP bahawa Akta Hasutan adalah undang-undang yang zalim dan kuno yang perlu dimansuhkan. Tetapi sehingga hari ini, hampir dua tahun memerintah, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pula menggunakan undang-undang untuk menutup kebebasan bersuara terutama terhadap mereka yang mengkritik atau menimbulkan ancaman politik kepada kerajaan.
“Idea kebebasan bersuara di Malaysia pada ketika ini, selepas PRU 15 hanya terhad kepada ucapan yang memuji kerajaan. Sebarang kritikan yang dibuat terhadap kerajaan dan/atau sekutunya dianggap sebagai hasutan dan/atau akan tertakluk kepada siaran dikeluarkan daripada media sosial atau forum lain,” katanya.
Oleh itu, beliau menyeru semua pemimpin PKR dan DAP mengenang kembali peristiwa di mana semua pemimpin parti itu berdiri teguh di belakang mendiang Karpal Singh apabila beliau didakwa di bawah akta yang sama kerana kenyataan yang dibuat terhadap Raja Perak semasa krisis di negeri itu.
Malah, katanya, terdapat desakan keras dan kuat daripada pembangkang ketika itu untuk memansuhkan Akta Hasutan daripada PH.
“Bagi Anwar dan golongan ‘reformis’ sekarang membenarkan akta itu digunakan terhadap lawan politik adalah pengecut, hipokrit dan diktator.
“Kami menyeru Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan PH supaya berpegang pada janji dan manifestonya untuk memansuhkan perkara kuno ini.
“Kami selanjutnya menuntut agar Peguam Negara menggugurkan pertuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mengkaji semula semua pertuduhan hasutan sedia ada yang kini belum selesai di mahkamah,” katanya. – UTUSAN









