SEREMBAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhasrat mewujudkan Nismilan Edufund bernilai RM25 juta untuk tabung akses pendidikan tinggi.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran itu terkandung dalam tema ‘Jago Pendidikan Nismilan’ iaitu usaha melonjakkan kecemerlangan pendidikan anak-anak di negeri ini.
“Selain itu, menjadikan Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) sebagai institusi TVET bertaraf antarabangsa yang menawarkan pengajian percuma secara bersasar.
“Bersatu juga mahu mewujudkan Dana Prihatin Pendidikan sebanyak RM20 juta serta memperkenalkan inisiatif Jom Poie Sekolah dengan peruntukan RM2 juta setahun untuk memberikan bantuan secara tunai kepada keluarga memerlukan,” katanya sempena pelancaran Tawaran Bersatu Demi Nismilan di Nilai, di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, parti itu turut menawarkan inisiatif selamat ke sekolah menerusi bantuan pengangkutan RM50 sebulan kepada 2,000 peajar dan menyediakan RM3,000 geran sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). – UTUSAN










