KUALA LUMPUR: Premis perniagaan di sekitar Jalan Masjid India di sini masih ditutup selepas kejadian seorang pelancong wanita warga India masih hilang dalam kejadian tanah jerlus Jumaat lalu.
Tinjauan di lokasi mendapati hampir semua premis perniagaan di Malayan Mansion tidak beroperasi atas arahan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, terdapat dua premis iaitu kedai runcit dan kedai fotostat di Malayan Mansion beroperasi untuk memenuhi keperluan penghuni yang menginap di rumah kedai di bangunan terbabit.
Peniaga kedai runcit dikenali sebagai Vel, 42, berkata, kawasan terbabit kebiasaannya dikunjungi pelancong terutama warga India namun lengang sejak kejadian tanah jerlus.
“Selalunya di kawasan ini ramai orang terutamanya hari Jumaat namun sejak insiden itu kawasan ini sangat suram dan hanya dilalui penghuni yang duduk di sini.
“Kedai (runcit) agak terkesan kerana jualan agak perlahan namun saya mengambil keputusan untuk buka kerana penghuni yang mendiami ini minta kami buka kedai,” katanya ketika ditemui hari ini.
Bagaimanapun, suasana berbeza di kawasan belakang Flat Malayan Mansion, apabila aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa.
Orang ramai masih meneruskan aktiviti membeli barangan di pusat-pusat perniagaan di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Tinjauan turut mendapati kawasan berhampiran Masjid India dipenuhi pengunjung yang turut meninjau lokasi kejadian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga hari ini membabitkan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Indah Water Konsortium (IWK).
Setakat pukul 1.45 petang, SAR dijalankan di lurang kedua di Jalan Melayu dan ketiga kumbahan di persimpangan Jalan Melayu sehingga ke Pantai Dalam.
Anak lelaki mangsa yang dikenali sebagai Surya, 26, masih menunggu bersama pasukan SAR sejak pukul 8 pagi tadi.
Jumaat lalu, media melaporkan mangsa merupakan seorang pelancong dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri tertimbus dalam kejadian pada 8.22 pagi itu.
Sejak operasi mencari SAR hanya menemukan selipar dipercayai milik wanita warga India terbabit pada hari pertama pencarian.- UTUSAN










