KLANG: Keluarga mendiang G. Vijaya Lakshmi yang menjadi mangsa terjatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada dua tahun lalu mahu rundingan diadakan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerajaan bagi mengemukakan tuntutan pampasan.
Peguam M. Partiben yang mewakili berkata, meskipun belum sebarang angka ditetapkan, namun beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Sesyen apabila memerintahkan DBKL membayar pampasan RM824,180 kepada suami isteri waris kepada mendiang Phun Mun Lap, 30, yang meninggal dunia akibat dihempap pokok pada tiga tahun lalu.
Katanya, tragedi menimpa Vijaya Lakshmi, 48, hampir sama seperti kes dihadapi Mun Lap yang didakwa disebabkan oleh kecuaian daripada DBKL apabila tidak teliti dalam rutin penyelenggaraan melibatkan saliran air dan perparitan bawah tanah di laluan pejalan kaki utama.
“Akibat kematian itu, ahli keluarga termasuk suami dan anak perlu menanggung komitmen peninggalan mendiang yang mencecah RM300,000 selain kos perjalanan anaknya, Surya Madhaiha ke negara ini bagi urusan permohonan sijil kematian dan hal-hal lain.
“Surya juga kehilangan pekerjaan kerana perlu datang ke negara ini kerana urusan tersebut sedangkan bapanya merupakan seorang warga emas tidak dapat bekerja akibat masalah kesihatan seperti jantung, diabetes serta gangguan saraf yang mengakibatkannya tidak dapat berjalan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Partiben menambah, keluarga berharap dapat bertemu dan berunding dengan DBKL dan kerajaan dalam tempoh dua minggu ini sebelum Surya pulang ke negara asalnya nanti.
Dalam kejadian pada 23 Ogos 2024 itu, mangsa yang berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dan operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) ditamatkan sembilan hari kemudian.
Bagaimanapun, beliau menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) apabila mengeluarkan sijil kematian Vijaya Lakshmi yang baru diserahkan kepada Surya, semalam.
Kata Partiben, dokumen tersebut penting bagi keluarga untuk menguruskan komitmen lain seperti hutang ditinggalkan oleh mendiang yang sebelum ini membuat pinjaman bank di negara asal kerana berhasrat membuka perniagaan di sana.
“Pemergian mendiang Vijaya Lakshmi yang merupakan penanggung utama sebelum ini memberi kesan kepada keluarga terutama suaminya yang memerlukan rawatan dan ubat-ubatan akibat penyakit dialaminya.
“Ketika ini mereka bergantung kepada bantuan yang turut diterima daripada Kerajaan India seperti bekalan makanan dan sebagainya. Sekiranya pampasan yang ditawarkan nanti tidak relevan, barulah kita fikirkan untuk pertikai mengikut proses undang-undang di mahkamah,” ujarnya. – UTUSAN










