SHAH ALAM: UMNO Selangor pertahan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang pembinaan ladang babi di negeri ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, tindakan biadab seperti memutar belit titah baginda dan menyunting imej bagi tujuan menghina adalah melampaui batas selain tidak menghormati institusi diraja.
“Kami kekal konsisten dalam menjunjung dan mempertahankan institusi Kesultanan Negeri Selangor daripada sebarang bentuk penghinaan, fitnah, provokasi mahupun cubaan memperlekehkan martabat Sultan Selangor.
“Semua pihak sewajarnya menghormati serta memahami kedudukan dan peranan Sultan Selangor menurut lunas Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, tanpa cuba mempolitikkan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap titah serta pandangan baginda,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, setiap titah, nasihat, teguran dan peringatan daripada Sultan Selangor adalah selari dengan semangat Raja Berperlembagaan serta peranan baginda sebagai ketua negeri yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Dewan di-Raja Selangor menyanggah dakwaan Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kepentingan politik ketika bertitah atau memberi nasihat kepada kerajaan negeri.
Malah, baginda juga tidak mencampuri urusan kerajaan negeri susulan titah baginda pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 pada 20 April lalu.
Jelas Megat Zulkarnain, institusi raja-raja Melayu adalah payung negeri, lambang perpaduan rakyat serta benteng kestabilan yang wajib dipelihara dan dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar politik.
“Dalam suasana politik yang semakin mencabar hari ini, semua pihak diseru agar lebih matang, berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi Kesultanan serta tidak menjadikan perkara melibatkan Sultan Selangor sebagai bahan polemik politik sempit.
“Tumpuan utama semua pihak seharusnya adalah kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, memperkukuh kestabilan negeri serta memastikan pentadbiran berjalan dengan berkesan selaras dengan semangat raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN










