SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan sukacita terhadap agihan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) berjumlah RM1.33 bilion di samping kutipan sebanyak RM1.31 bilion bagi tahun 2025.
Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataannya berkata, daripada keseluruhan agihan tahun lalu, lebih 60 peratus dikhususkan kepada golongan fakir dan miskin melibatkan lebih 75,000 keluarga penerima di seluruh negeri.
“Peningkatan bilangan asnaf baharu ini didorong oleh usaha proaktif Zakat Selangor dalam memperkukuh proses penilaian, pengesanan dan peluasan capaian bantuan kepada keluarga yang layak.
“Lebih 2,800 keluarga fakir dan miskin pula berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan hasil intervensi berterusan yang dilaksanakan,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, baginda mahu agar agihan zakat terus difokuskan kepada bantuan asas seperti kewangan bulanan, makanan, perumahan dan sokongan pendidikan.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menegaskan isu penyerahan zakat kepada fakir miskin adalah berdasarkan pengiraan had kifayah, justeru perkara itu tidak wajar dikelirukan dengan jumlah kemiskinan tegar di negeri ini.
“Daripada data Zakat Selangor bagi tahun 2025 itu, baginda berkenan menegaskan bahawa masih terdapat pertambahan kemiskinan baharu di negeri Selangor iaitu seramai 14,000 keluarga fakir dan miskin.
“Baginda tidak mahu ada pihak yang salah faham atau keliru dengan kenyataan yang mendakwa tiada lagi kemiskinan tegar di Selangor, walhal masih ada penerima zakat yang dikategorikan sebagai fakir dan asnaf.
“Baginda juga khuatir pembayar zakat beranggapan sudah tidak ada lagi fakir miskin di negeri Selangor sehingga boleh menjejaskan jumlah kutipan zakat,” jelasnya.
Kata kenyataan itu lagi, baginda juga berharap Zakat Selangor akan terus melaksanakan amanah kutipan dan agihan zakat secara bertanggungjawab, telus dan berintegriti selaras dengan tuntutan syariat Islam. – UTUSAN










