SEREMBAN: Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Negeri Sembilan kekal hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, pada masa sama, keputusan pucuk pimpinan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan dikekalkan adalah dihormati.
“Semua ADUN UMNO, BN juga akan menjalankan tanggungjawab seperti biasa, malah terus memberi fokus, memperhebatkan khidmat bakti kepada rakyat dan memastikan kebajikan mereka diberi perhatian sewajarnya dari semasa ke semasa.
“Kami kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar di atas kegagalan menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri ini sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mustapha dalam pada itu berkata, UMNO Negeri Sembilan juga berharap krisis berkaitan kepimpinan adat di Negeri Sembilan ketika ini akan dapat diselesaikan dengan baik dan harmoni.
Selain mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan mengikut tatacara adat yang sebenarnya.
UMNO Negeri Sembilan juga menyeru agar rakyat dapat menghormati segala proses yang sedang berlaku, tidak memberikan sebarang komen yang berbentuk provokatif apatah lagi menghina Institusi Adat di Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN










