SHAH ALAM: Daftar masuk, akhirnya melangkah ke dewan graduasi bersama-sama menjadi detik paling manis buat Dr. Nurul Huda dengan bapanya Dr. Jafni Ghazali apabila masing-masing menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang pengajian perniagaan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-104, hari ini.
Lebih mengujakan, ketika mendaftar masuk pada 2021, mereka turut memperoleh pensyarah penyelia yang sama walaupun pada peringkat awal Nurul Huda dan Jafni menjangkakan tidak akan tamat dalam tempoh sama apabila masing-masing menulis penyelidikan berbeza.
Jafri, 60, yang juga bekas Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian di Nibong Tebal, Pulau Pinang berkata, cabaran paling besar baginya adalah menyiapkan penyelidikan ketika masih bekerja sebagai pendidik.
Tambahnya, selain itu dia mengakui situasi paling mencabar ketika tiba hari penghantaran laporan penyelidikan dan melalui proses viva yang berbeza.
“Saya lalui viva dahulu, seminggu kemudian baru anak. Ketika itu memang berfikir macam-macam, soal diterima atau ada pembetulan. Sampai ke tahap itu masih fikir tak dapat graduasi bersama-sama anak.
“Bagaimanapun, secara peribadi, saya akui PhD bukan mudah, walaupun tempoh saya menamatkan pengajian peringkat sarjana lebih lama. PhD adalah sebuah perjalanan dan kena laluinya bersendirian walaupun daftar bersama anak pada Mac 2021,” katanya ketika ditemui pada istiadat tersebut di sini, hari ini.
Sementara bagi anak sulungnya, Nurul Huda, 29, dia bersyukur apabila dapat memulakan pengajian peringkat tertinggi itu bersama bapanya yang pernah menyatakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tersebut.
“Seronok bila pergi ke kelas setiap minggu bersama-sama di UiTM kampus Permatang Pauh. Memang ayah pernah cakap, mungkin konvokesyen nanti tak sama kerana bidang penyelidikan masing-masing berbeza.
“Tetapi, selepas laporan penyelidikan kami diterima walaupun viva masing-masing berbeza seminggu, akhirnya dapat bergraduasi bersama. Lebih menyeronokkan bila kami menyarung jubah yang sama dan duduk bersebelahan di dalam dewan,” ujarnya yang kini bekerja sebagai pakar komunikasi serantau dekat sebuah syarikat di Kulim, Kedah.
Terdahulu, Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengurniakan ijazah doktor falsafah kepada Jafri dan Nurul Huda. – UTUSAN










