SHAH ALAM: Dua lelaki menemui ajal selepas kereta yang dipandu masing-masing iaitu Perodua Kancil dan Axia bertembung dekat Persiaran Mokhtar Dahari di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kedua-dua mangsa tersepit di bahagian pemandu akibat kemalangan tersebut.
Menurutnya, bomba menerima panggilan pada pukul 1.50 tengah hari sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong ke lokasi kejadian.
“Perodua Kancil dipandu lelaki berusia 21 tahun bertembung dengan Axia yang dipandu lelaki berusia 39 tahun.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan. Kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba bertugas sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita, hari ini. – UTUSAN










