SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) harus dipelihara kedudukannya yang berperanan dalam menjaga hak dan keistimewaan orang Melayu serta anak-anak Sabah dan Sarawak ibarat seperti sebuah ‘universiti diraja’.
Institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) itu kekal relevan dalam usaha membangunkan anak bangsa dan perlu dipertahankan daripada sebarang cubaan mengubah, menggugat kedudukannya.
Pro-Canselor, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, amanah itu hendaklah digalas dengan penuh tanggungjawab, khususnya dalam melindungi hak orang Melayu, Orang Asli serta anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak, selaras dengan Akta 173 (1A) dan Peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“UiTM hendaklah terus dipertahankan sebagai institusi yang berteraskan amanah ini, dan saya tidak berkenan sekiranya terdapat mana-mana pihak membuat cubaan mengubah, menggugat atau memesongkan tujuan penubuhannya.
“Maka, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara kedudukan UiTM, di samping memastikan kepentingan sah kaum-kaum lain turut dipelihara sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Seumpamanya sebagai sebuah ‘Universiti Diraja’,” titahnya pada pembukaan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-104 di sini, hari ini.
Dalam istiadat tersebut baginda berkenan mengurniakan ijazah doktor falsafah kepada 280 penerima dan 10 graduan ijazah kepakaran klinikal.
Seramai 25,336 graduan peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah dari kesemua 34 kampus cawangan seluruh negeri akan menerima skrol masing-masing dalam istiadat yang berlangsung bermula hari ini hingga 23 Mei, 9 dan 10 Jun bagi Sabah serta 23 dan 24 Jun bagi Sarawak.
Istiadat tersebut turut menyaksikan pelantikan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Ke-7, Datuk K. Y. Mustapha sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.
Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan keprihatinan baginda terhadap ketegangan geopolitik yang mengorbankan nyawa serta menjejaskan kestabilan ekonomi, sosio-politik dan kesejahteraan sejagat.
“Keadaan itu seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, cakna akan keperluan negara, serta sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan penuh kebijaksanaan dan tanggungjawab.
“Saya menyeru agar seluruh rakyat untuk terus mendoakan agar negara kita serta negara serantau, sentiasa dilindungi daripada sebarang kesan buruk akibat pergolakan yang berlaku,” ujar baginda.
Selain itu, Tengku Permaisuri Selangor turut menasihatkan graduan supaya tidak mengabaikan nilai adab, integriti dan tanggungjawab sebagai insan yang berilmu ketika mendepani kepesatan teknologi serta perubahan landskap ekonomi global
“Kemajuan ketamadunan sesebuah masyarakat amat bergantung kepada perkembangan ilmu. Semakin luas ilmu yang diterokai, semakin tinggi keupayaan sesuatu bangsa untuk maju dan berkembang,” tutur baginda. – UTUSAN










