Selebriti tidak boleh cakap soal haji tanpa tauliah

Selebriti tidak boleh cakap soal haji tanpa tauliah

ANWAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Syarikat atau ejen haji swasta diwajibkan membawa sekurang-kurangnya seorang pembimbing bertauliah bagi memastikan setiap urusan ibadah dibuat mengikut ketetapan ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Anwar Ahmad berkata, hanya individu yang mempunyai tauliah daripada TH dibenarkan memberi penerangan atau menjawab persoalan berkaitan ibadah haji kepada jemaah.

Katanya, perkara itu termasuk dalam kalangan selebriti dimana mereka perlu memperoleh tauliah bimbangan haji.

Beliau menjelaskan, terdapat syarikat yang membawa selebriti sebagai sebahagian daripada pakej mereka, namun mereka tidak boleh bercakap mengenai ibadah haji sekiranya tidak mempunyai tauliah sah.

“Setiap PJH (ejen haji swasta) mesti membawa sekurang-kurangnya seorang pembimbing agama yang ada tauliah untuk menjawab soalan dan memberi panduan kepada jemaah.

“Mereka boleh bawa selebriti atau sesiapa sahaja, tetapi individu itu tidak boleh bercakap berkaitan urusan haji jika tidak ditauliahkan oleh TH,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut beliau, TH mempunyai sistem pemantauan tersendiri bagi memastikan hanya individu bertauliah mengendalikan penerangan berkaitan ibadah haji.

Katanya, kehadiran selebriti dalam pakej tertentu mungkin sekadar nilai tambah atau strategi pemasaran syarikat masing-masing.

“Mungkin sekadar untuk hiburan atau tarikan pelanggan, itu bergantung kepada syarikat.

“Tetapi untuk urusan ibadah dan penerangan haji, hanya mereka yang ada tauliah dibenarkan bercakap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN