SHAH ALAM: Orang ramai disaran merujuk kepada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat yang tepat berhubung bangunan penempatan Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat dan tidak terpengaruh dengan pendapat-pendapat yang mengelirukan dalam media sosial.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap binaan struktur tersebut sudah pun diambil sejak 2016 seperti pengeluaran notis amaran, kompaun dan operasi bersepadu.
“Siasatan serta tindakan penguatkuasaan termasuk perobohan turut diambil oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Kerajaan Negeri menegaskan akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Sebelum itu, PDT Hulu Langat mengesahkan, pihaknya akan melaksanakan tindakan perbohohan mengikut undang-undang selepas Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah selaras dengan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kepada pemilik-pemilik struktur kediaman pada 2017, 2020, 2021 dan terkini pada 13 Mac tahun lalu dikeluarkan.
PDT itu dalam kenyataannya memaklumkan, MPKj juga mengeluarkan notis dan kompaun di bawah Seksyen 70(1) dengan arahan Seksyen 72(1)(b)(c) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 pada 10 tahun lalu, 2017, 2019 dan 2021.
“Pada 2025, LUAS pula membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 43(4) dan Seksyen 70(3) Enakmen LUAS 1999 bagi pengesyoran tindakan kompaun kesalahan kepada pihak bertanggungjawab mendirikan struktur tanpa kebenaran.
“Sabit ksalahan, pihak terbabit boleh didenda sehingga RM50,000 dan penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.
Katanya lagi, JIM Selangor pada Ferbuari tahun lalu bersama polis menahan seramai 42 orang warga asing yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN










