KLANG: Taktik menyeludup ratusan pil kuda dengan seluar jeans terpakai menerusi mel udara terbongkar selepas dirampas pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, 16 Julai lalu.
Perkara itu dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) yang menjalankan pemeriksaan rapi ke atas semua parcel di Pusat Mel dan Kurier (PMK).
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pihaknya mendapati satu bungkusan mencurigakan yang dikirim individu dari sebuah negeri di pantai timur.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudian menemukan tiga paket disyaki berisi pil kuda yang juga dadah jenis amfetamin.
“Semua pil berkenaan disembunyikan dalam lipatan sehelai seluar jeans ‘bundle’ di dalam parcel tersebut. Kesemua 600 biji pil dianggarkan bernilai RM9,000 itu dipercayai mahu dihantar ke sebuah negara di Asia Selatan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Tambahnya, bungkusan yang diikrar sebagai pakaian itu disita dan dibawa ke pejabat pihaknya bagi tindakan lanjut.
“Kita masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengesan pengirim bungkusan itu. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya turut menggagalkan cubaan menyeludup rokok dengan nilai cukai RM2.9 juta di Zon Bebas Pelabuhan Barat di sini, 4 Jun lalu.
“Kesemua empat juta batang rokok itu dirampas menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang diikrar sebagai barangan kayu. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan,” katanya. – UTUSAN










