KUALA TERENGGANU: Seorang remaja lelaki maut manakala dua termasuk seorang rakan baiknya parah setelah motosikal mereka bertembung di Jalan Kampung Telari, Manir, malam tadi.
Dalam nahas kira-kira pukul 10.26 malam itu, mangsa, Muhammad Hairis Irsyad Azhar, 15, beralamat di Kampung Banggol Tuan Muda, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian itu melibatkan motosikal Honda EX5 dan Yamaha 135LC yang dinaiki dua remaja.
Menurut beliau, siasatan mendapati nahas berlaku ketika Honda EX5 ditunggangi Muhammad Hafiz Hafiza Mazlan, 25, dari bahu jalan masuk ke jalan utama ke Kampung Banggol Tok Esah.
Katanya, Motosikal berkenaan bertembung dengan Yamaha 135LC yang ditunggangi
Ahmad Uwais Qarni Azrul, 15, dan dibonceng
Muhammad Hairis Irsyad yang datang secara tiba-tiba dari arah Kampung Kebor Besar.
“Akibat pelanggaran itu, Muhammad Hairis Irsyad disahkan maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Azli memberitahu, rakan mangsa yang menunggang motosikal serta penunggang Honda EX5 pula cedera parah dan dirawat di Wad Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Katanya, mayat Muhammad Hairis Irsyad pula dibawa di Jabatan Perubatan Forensik hospital sama untuk tindakan seterusnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN










