GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Kelantan yang didakwa dengan mudah memberikan kelulusan tanah yang berkeluasan ribuan hektar kepada banyak syarikat tetapi sukar memberi kelulusan geran hak milik kediaman kepada rakyat.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd. Syahbuddin Hashim mendakwa, sejak 2022, kerajaan Kelantan telah meluluskan lebih 13,200 hektar penerokaan tanah hutan baharu di kawasan DUN Nenggiri.
Katanya, kelulusan penerokaan hutan itu diberikan atas pelbagai maksud seperti ladang hutan, pengkayaan hutan dan lombong melibatkan hutan Ulu Nenggiri dan Mukim Bertam.
TELUS
“Di saat Kerajaan Kelantan mencanangkan kepada rakyat bahawa mereka adalah sebuah kerajaan yang telus dan adil, rakyat di bawah terutama di Nenggiri bergelut sekian lama untuk dapatkan geran milik tanah,’’ katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Rakyat di Bukit Cekati di sini, semalam.
Beliau juga mendakwa, konsesi penerokaan hutan itu kepada banyak syarikat termasuk kepada syarikat bukan bumiputera melalui kaedah seperti ‘Ali Baba’ oleh pihak penerima pertama.
“Terdapat beberapa kelulusan penerokaan hutan ini yang kebanyakan terlibat dalam pengeluaran balak dari hutan Nenggiri amat mencurigakan,” katanya.
Mohd. Syahbuddin yang juga Timbalan Pengerusi BN Gua Musang memberitahu, BN menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri tentang jumlah kelulusan sebenar yang telah diberikan oleh kerajaan untuk meneroka tanah hutan di Ulu Nenggiri.
Katanya, pihaknya diberitahu keluasan itu melibatkan 54 kelulusan.
ALASAN
“Pada masa sama, kita turut mempersoalkan alasan yang membolehkan syarikat bukan bumiputera yang tidak sampai setahun usianya mendapatkan projek ladang hutan ketika rakyat biasa terpaksa naik turun pejabat tanah untuk mendapatkan sebidang tanah untuk kediaman.
“Saya lihat daerah ini terutama kawasan Nenggiri seolah-olah dijadikan ‘mesin pengeluaran wang automatik’ (ATM) kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan dana tanpa ada manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Syahbuddin berkata, pemimpin Pas Kelantan tidak perlu bercerita mengenai pembangunan di daerah ini kerana Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sudah melakukan yang terbaik untuk membangunkan kawasan ini.
“Setiap kali Bajet Negeri Kelantan daerah Gua Musang sering ketinggalan terutamanya kebajikan seperti rumah mampu milik kerajaan negeri.
“Sudah 34 tahun rakyat terutamanya Orang Asli di kawasan Nenggiri terpaksa menanggung kemusnahan alam sekitar kerana hasilnya diperoleh oleh kerajaan negeri tanpa ada pulangan yang wajar kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










