Pendakwaan Muhyiddin ikut prosedur, bukan tergesa-gesa - PDRM

Pendakwaan Muhyiddin ikut prosedur, bukan tergesa-gesa – PDRM

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Pendakwaan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 dilakukan mengikut prosedur bukannya secara tergesa-gesa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan berhubung isu agama, raja dan kaum (3R) dilakukan mengikut masa yang telah ditetapkan iaitu selama tujuh hari.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut, siasatan yang sudah lengkap akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum arahan pertuduhan dikeluarkan.

“Tidak timbul isu pendakwaan segera kerana kita sudah sedia maklum bahawa siasatan  berkaitan isu 3R akan dibuat dalam tempoh tujuh hari. Jika hari ini siasat dan esok tuduh, itu mungkin tergesa-gesa.

“Kita berpandukan siasatan dalam tempoh tujuh hari itu. Apabila polis lambat, orang kata kita lembab. Apabila cepat (siasatan), kata tergesa-gesa pula,” katanya pada pemberita selepas Program Peluncuran Kampung Angkat Madani PDRM di Kampung Jenal, Dabong di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Bersatu  mendakwa siasatan polis berhubung ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah dilakukan secara tergesa-gesa.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pendakwaan segera ke atas Muhyiddin oleh Peguam Negara berhubung kes itu juga menimbulkan banyak lagi persoalan.

Katanya, ini kerana tindakan menyatakan fakta, terutama berkaitan Perlembagaan Persekutuan tanpa berkecenderungan menghasut tidak boleh dianggap sebagai perbuatan menghasut atau menjadi kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN