PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap akan mendapat keadilan di mahkamah selepas dituduh menghasut ketika memberi ceramah dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, Muhyiddin berkata, beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
“Saya berdoa ke hadrat Allah SWT semoga saya akan mendapat keadilan di mahkamah. Saya juga mengharapkan doa dan sokongan daripada anda semua. Sesungguhnya Allah SWT bersama-sama hamba-hamba-Nya yang bersabar,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Muhyiddin mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut ketika memberi ceramah di Felda Perasu pada 14 Ogos lalu.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik. Mohd. Shukri.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa menyebut perkataan menghasut yang mendakwa beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










