Dakwaan beli undi antara isi petisyen PRK DUN Nenggiri

PRK Nenggiri: Bersatu dakwa BN beli undi

KAMARUDIN Md. Nor (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Program Jiwa Merdeka dan Pengagihan Bendera Malaysia Jewels Hotel di Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan sedang mengumpul bukti, menilai dan mencari saksi bagi memfailkan petisyen untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Antara kesalahan semasa kempen PRK itu didakwa membabitkan amalan beli undi dan salah guna bangunan kerajaan untuk tujuan berkempen.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Nor mendakwa, kesemua 20 pusat mengundi di PRK Nenggiri dikesan terlibat dalam kegiatan beli undi dengan purata bayaran RM500 setiap seorang.

BAYARAN

“Kita diberitahu itulah purata bayarannya tetapi ada yang kurang dan ada dibayar lebih. bergantung kepada individu yang dibeli undinya. Kalau orang macam saya, tidak mungkinlah sekadar RM500 sahaja.

“Selain itu, ada juga perkara lain seperti salah guna bangunan kerajaan untuk tujuan berkempen termasuk dengan menampal simbol parti,” katanya pada sidang media selepas Program Jiwa Merdeka dan Pengagihan Jalur Gemilang di sini semalam.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kelantan itu berkata, pihaknya masih mengumpul bahan-bahan bukti untuk dinilai oleh barisan panel yang pakar mengenai peraturan pilihan raya sama ada boleh digunakan untuk menyokong petisyen itu atau sebaliknya.

Katanya, bagaimanapun tidak semua bahan yang dikumpulkan boleh dianggap sebagai bukti dan kerana itu ia perlu disahkan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkenaan.

SAKSI

“Sebahagian daripada bahan bukti ini turut memerlukan saksi. Contohnya dalam isu beli undi, mesti ada pengundi di Nenggiri yang mengaku menerima wang menyatakan kesanggupan untuk hadir ke mahkamah sebagai saksi

“Jadi setiap bahan bukti sudah ada saksi. Cuma sama ada dia bersedia untuk tampil di mahkamah atau tidak. Bahan bukti juga tidak semestinya banyak. Cukup satu atau dua bukti yang kukuh,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan PN sedang mengumpulkan bukti untuk memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos lalu.

Ia membabitkan dakwaan BN merasuah dan mengancam pengundi di sepanjang dua minggu tempoh berkempen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN