GOMBAK: DAP tidak menerima undangan daripada Barisan Nasional (BN) untuk berkempen membantu mereka di Pilihan Raya Kecil (PRK), Nenggiri.
Setiausaha DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, mereka akan turun bantu BN berkempen sekiranya dijemput.
“Kalau ada jemputan kita pergi. Namun, setakat ini tiada lagi jemputan dari mereka. Walaupun muka saya besar tapi tak setebal Dominic Lau (Presiden Gerakan). Kita akan turun jika ada keperluan,” katanya.
Anthony berkata demikian pada sidang akhbar program pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan Dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran & Ekspres) di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak, Kuala Lumpur.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ahmad Maslan berkata, keperluan DAP turun berkempen membantu calon BN pada PRK Nenggiri tidak terlalu mendesak, memandangkan majoriti pengundi di kawasan tersebut terdiri daripada Melayu.
Menurutnya, DUN Nenggiri hanya mempunyai 35 orang pengundi Cina.
Tambah Anthony, beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada calon BN, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani yang bakal bertanding di PRK kawasan itu pada 17 Ogos ini. – UTUSAN










