PKR Sabah nafi jadi penghalang kerjasama Warisan-UMNO

PKR Sabah nafi jadi penghalang kerjasama Warisan-UMNO

RAZEEF Rakimin (duduk tengah) menunjukkan bukti PKR menghantar jemputan dan maklum balas dari Loretto Padua pimpinan Warisan tidak dapat hadir ke Perhimpunan Perdana Rakyat di Kota Kinabalu, 4 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PKR Sabah menafikan parti itu menjadi penghalang kerjasama antara Parti Warisan (Warisan) dan UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Sumber  PKR Sabah memberitahu, tuduhan itu tidak berasas dan sengaja direka pihak tertentu untuk melaga-lagakan parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama  Warisan yang kini juga  sebahagian parti yang membentuk kerajaan Persekutuan. 

“Dakwaan mengatakan PKR menghalang kerjasama Warisan dan UMNO adalah tidak berasas sama sekali, lebih-lebih lagi dengan hanya bersandarkan ketidakhadiran pemimpin Warisan pada Himpunan Perdana Rakyat sebelum ini,” kata sumber seperti dilaporkan akhbar tempatan.

Sumber itu menjawab laporan Utusan Malaysia pada 22 Ogos lalu bahawa  PKR dikatakan menjadi penghalang kepada jalinan kerjasama antara Warisan dan UMNO di Sabah bagi menghadapi PRN. 

Sumber Warisan pula memberitahu, parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu dilihat ‘bermuka-muka’ setiap kali bertemu Warisan sedangkan  parti itu juga mempunyai hubungan ‘amat baik’ dengan UMNO di peringkat Persekutuan. 

Kata sumber, keadaan tersebut kemungkinan besar mendorong PKR mempengaruhi keputusan UMNO untuk bekerjasama dengan parti pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal itu. 

Buktinya, kata sumber, semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Himpunan Perdana Rakyat di Kota Kinabalu, awal bulan ini, Warisan tidak  diundang.

“Mengapa tidak melibatkan Warisan dalam program itu? Jika benar mereka baik dengan Warisan, secara logik kami melalui Presiden Warisan perlu diundang. 

“Shafie pula berada di kawasan Parlimennya di Semporna. Mengapa penganjur tidak jemput beliau? Sebab itu kami menganggap parti itu boleh menjadi penghalang kerjasama Warisan dan UMNO,” kata sumber.

PENYOKONG

Dianggarkan lebih 15,000 ahli dan penyokong PKR hadir ke perhimpunan itu.

Parti politik lain yang hadir ialah DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Barisan Nasional (BN), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA serta beberapa yang lain. 

Hanya Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Warisan dilaporkan tidak hadir.

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat merangkap Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin dalam sidang media semalam berkata, tindakan Warisan berdiam diri selepas laporan itu diterbitkan menunjukkan seolah-olah mereka membenarkan tuduhan itu. 

Sedangkan, katanya, beliau mempunyai salinan surat jemputan ditujukan kepada Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua pada Julai lalu supaya mereka hadir ke Himpunan Perdana Rakyat pada 4 Ogos. 

Katanya, Loretto membalas mesej pada 31 Julai lalu menerusi WhatsApp dan memberitahu tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen lain. 

“Oleh  itu, kami tidak mahu lagi timbul fitnah kami tidak memanggil (jemput) Warisan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×