Penduduk sifatkan kejadian kepala air bencana terburuk - Utusan Malaysia

Penduduk sifatkan kejadian kepala air bencana terburuk

ANGGOTA bomba memindahkan mangsa yang terperangkap di Risda Eco Park di Slim River hari ini akibat kejadian kepala air yang berlaku semalam. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim River di sini disifatkan bencana yang paling buruk pernah berlaku terhadap penduduk mangsa banjir yang telah menetap dalam tempoh lebih 20 tahun di situ.

Menurut Raja Abu Bakar Raja Adnan, 52, yang menetap di Kampung Pasir Sungai Muda, kejadian itu berlaku dengan pantas dan tidak banyak yang boleh dilakukannya sekeluarga.

“Kejadian itu paling menakutkan kerana tidak pernah berlaku kejadian kepala air sehingga menyebabkan empangan pecah dan jambatan sebagai penghubung jalan penduduk kampung runtuh.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan kecuali nyawa saya sekeluarga kerana paras air telah sampai ke paras pinggang,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Pasir Sungai Muda, Slim River di sini hari ini.

Dia menetap bersama isteri, ibunya dan tiga anak buahnya.

Dalam pada itu, Nurul Niza Sahapiee, 38, berkata, bencana itu berlaku dengan begitu pantas sehingga menyebabkan rumahnya diliputi lumpur tebal.

“Saya sekeluarga bersyukur kerana diselamatkan oleh pihak berkuasa pada petang semalam.

“Air begitu deras dengan membawa sisa-sisa kayu dan pokok tumbang bersama. Saya berdoa kejadian seperti ini tidak berlaku lagi kerana anak-anak yang masih kecil menjadi trauma,” katanya.

Nurul Niza telah menetap di Kampung Pasir Sungai Muda lebih 30 tahun.

PPS Kampung Pasir Sungai Muda menempatkan 128 mangsa banjir. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×