22 lokasi kepala air di Terengganu - Utusan Malaysia

22 lokasi kepala air di Terengganu

TRAGEDI kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu pada 1 Julai 2023 mengorbankan sembilan nyawa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penambahbaikan prosedur operasi stan­dard (SOP) keselamatan di kawasan rekreasi sungai menjadi keutamaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu susulan beberapa tragedi kepala air yang meragut nyawa kebelakangan ini.

Langkah itu membabitkan peningkatan pemantauan di 22 kawasan rekreasi berisiko tinggi di lima daerah iaitu Hulu Terengganu, Dungun, Besut, Setiu dan Kemaman, termasuk pusat tumpuan pengunjung seperti Hutan Lipur Sekayu (Hulu Terengganu), Hutan Lipur Chemerong (Dungun), Lata Belatan dan Lata Tembakah (Besut) serta Lata Ulu Kasar (Setiu).

Ia bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan semua pi­hak dan mengurangkan risiko kehilangan nyawa akibat kejadian kepala air.

Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhammad ber­kata, prosedur sedia ada sentiasa dinilai dan ditambah baik berdasarkan pengalaman ope­rasi, hasil siasatan setiap insiden serta perkembangan semasa bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa relevan.

Katanya, penambahbaikan itu melibatkan Prosedur Operasi Seragam (POS) 2.5 Tahun 2012 bagi Pengoperasian STORM dan Buku Panduan Mencari dan Menyelamat (SAR) di Hutan/Gunung 2019.

“Fenomena kepala air adalah bencana yang sukar diramal kerana ia boleh berlaku dalam tempoh yang sangat singkat akibat hujan lebat di kawasan hulu sungai walaupun keadaan cuaca di lokasi rekreasi kelihatan cerah.

“JBPM memberi penekanan kepada aspek penilaian risiko, penambahbaikan sistem amaran awal, penyelarasan antara agensi dan peningkatan pendidikan serta kesedaran ke­selamatan dalam kalangan orang ramai,” katanya.

Pengunjung perlu peka bebe­rapa petanda awal sebelum berlakunya fenomena kepala air, antaranya air sungai tiba-tiba keruh atau berubah warna, paras air meningkat dengan cepat walaupun tiada hujan di lokasi, arus menjadi lebih deras daripada biasa serta kedengaran bunyi gemuruh atau deruan air yang semakin kuat dari arah hulu sungai.

“Tanda lain termasuk kayu, daun, ranting atau sampah hanyut dalam jumlah yang ba­nyak serta hujan lebat berlaku di kawasan hulu sungai walaupun kawasan rekreasi masih cerah.

“Sekiranya ada, pengunjung perlu segera meninggalkan kawasan sungai dan bergerak ke tempat lebih tinggi,” katanya.

Mengenai pelan tindakan kecemasan katanya, tidak semua kawasan rekreasi mempunyai tahap kemudahan keselamatan­ yang sama kerana terdapat lokasi semula jadi yang kurang kemudahan dan tidak diuruskan secara khusus.

Bagaimanapun, katanya, JB­PM bersama agensi berkaitan terus menambah baik langkah keselamatan termasuk pemasangan papan tanda amaran lebih jelas, penyediaan laluan pemindahan kecemasan, sistem hebahan atau siren di lokasi tertentu serta pemantauan cuaca dan paras air melalui kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Usaha itu turut meliputi penilaian risiko lebih menyeluruh di kawasan rekreasi, kerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan, JPS, METMalaysia dan pengusaha kawasan rekreasi, selain memperbanyak pemasangan kit menyelamat di lokasi berisiko tinggi.

Bagaimanapun keberkesanan sistem amaran dan langkah ke­selamatan tidak hanya bergantung kepada kemudahan disediakan, sebaliknya memerlukan kerjasama pengusaha dan tahap kesedaran pengunjung untuk sentiasa mematuhi arahan ke­selamatan dan penutupan kawasan yang dikeluarkan pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN