BALING: Seramai 19 individu dipercayai terperangkap akibat kejadian kepala air ketika melakukan aktiviti pendakian di Lata Debu, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.11 petang tadi.
Katanya, seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi dan terpaksa mendaki sejauh dua kilometer (km) untuk sampai ke lokasi kejadian.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, didapati sembilan wanita dan 10 lelaki berusia antara 20 hingga 25 tahun terperangkap di lata itu. Mereka dipercayai sedang menuruni kawasan itu tetapi terperangkap selepas berlakunya kepala air.
“Kejadian kepala air berlaku susulan hujan lebat hampir dua jam di kawasan itu,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, operasi menyelamat dilakukan menggunakan kaedah crossing river dengan tali bagi membawa seorang demi seorang mangsa ke lokasi selamat.
“Kesemua mangsa yang dipercayai bukan penduduk daerah ini datang untuk mendaki di Lata Debu pada pukul 8 pagi tadi. Mereka berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurut Zulkhairi, operasi berjalan hampir empat jam disebabkan cabaran yang perlu dilalui termasuk batu yang licin dan arus sungai deras. – UTUSAN










