KUALA TERENGGANU: Operator pusat rekreasi sungai perlu sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan mengutamakan aspek keselamatan sebelum menjalankan sebarang aktiviti bagi mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk risiko kepala air.
Pengurus Belukar Bukit Kayak Adventure Park di Hulu Terengganu, Najib Alias berkata, pusat rekreasi itu mempunyai dua kawasan iaitu kawasan rekreasi terbuka untuk kunjungan orang awam serta kawasan aktiviti yang dikendalikan operator Jenoba Outdoor dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Betong.
Katanya, kawasan rekreasi terbuka lebih sesuai untuk aktiviti santai seperti berkelah dan bermandi-manda kerana kedalaman sungai tidak berbahaya.
“Bagaimanapun, bagi kawasan yang dikendalikan operator, setiap pengunjung diwajibkan mengikuti taklimat keselamatan sebelum menyertai sebarang aktiviti.
“Kita turut memasang tali rentang di kawasan air dalam sebagai sempadan keselamatan selain papan tanda amaran dan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan kepada peserta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Najib, keadaan di bahagian hulu pusat rekreasi itu yang mempunyai empangan berfungsi sebagai penampan sekiranya berlaku hujan lebat.
Katanya, peningkatan paras air biasanya berlaku secara beransur-ansur dan bukannya mendadak.
Namun tindakan segera akan diambil dengan mengarahkan pengunjung meninggalkan kawasan sungai sekiranya berlaku perubahan ketara.
“Berdasarkan pemerhatian kami, ketika bukan musim monsun, paras air hanya meningkat kira-kira satu meter dalam tempoh tiga jam walaupun hujan lebat,” katanya.
Beliau berkata, semua operator tidak boleh mengambil mudah aspek keselamatan kerana perubahan cuaca boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Operator perlu sentiasa peka terhadap ramalan cuaca dan bersedia menghentikan aktiviti sekiranya keadaan tidak selamat,” katanya. – UTUSAN










