TANJUNG MALIM: Operasi menyelamat 19 mangsa kejadian kepala air dan empangan pecah di Risda Eco-Park, Kampung Ulu Slim, Slim River di sini masih diteruskan oleh pasukan bomba.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang terperangkap itu terdiri daripada sembilan orang dewasa dan 10 orang kanak-kanak.
“Operasi penyelamatan mangsa terperangkap di kawasan perkhemahan dilaksanakan di seberang jambatan yang menghubungkan laluan ke Risda Eco-Park sejauh 800 meter. Jumlah mangsa terperangkap seramai 19 orang.
“Kesemua mangsa berada di khemah masing-masing dan dilaporkan selamat dan stabil. Bomba masih memantau keadaan air sungai yang masih belum surut dan menunggu keadaan air pulih sebelum ke lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Katanya, setakat ini paras air menurun tetapi arus masih deras.
Seramai 109 orang terperangkap dalam kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village, Slim River di sini ekoran hujan lebat sejak petang semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 6.45 petang semalam yang melibatkan Kampung Sungai Bil, Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil, Kampung Pasir Ulu Slim dan Eco Park Risda, Ulu Slim.
Bencana itu menyebabkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan iaitu Jambatan Utama Slim Village, Jambatan Ulu Slim dan Jambatan Kampung Piong dekat Sungai Bil.
Selain itu, 50 penduduk terperangkap di Kampung Sungai Bil, Sir Zulkifli Campsite (15), Kampung Pasir (25) dan Eco Park Risda (19) namun tidak melibatkan kejadian individu hilang. – UTUSAN











