GEORGE TOWN : Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) kini sedang menyediakan laporan kepada Kabinet mengenai cadangan perubahan gaji minimum.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, MPGN juga telah bermesyuarat dengan pihak berkepentingan pada akhir Jun lalu berhubung perkara yang sama.
“Saya boleh memaklumkan bahawa MPGN telah bermesyuarat pada akhir bulan Jun lalu dan kini sedang menyediakan laporan kepada Kabinet mengenai cadangan perubahan gaji minimum.
“Ini adalah perbincangan tiga pihak yang terdiri daripada wakil majikan, pekerja, dan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Sumber Manusia Wilayah Utara 2024 di Pusat Pusat Konvensyen Setia SPICE, di sini hari ini.
Sebelum ini, Dasar Gaji Minimum dengan kadar RM1,500 dilaksanakan pada Jun 2022 dan diperluaskan ke peringkat syarikat swasta bermula 1 Julai 2023.
Menurut Steven, pihaknya percaya kerajaan tidak boleh menaikkan gaji minimum dengan menggunakan undang-undang semata-mata.
“Kamu tidak boleh memberi arahan kepada pemilik perniagaan. Katakan hari ini anda naikkan gaji kepada angka tertentu, kemudian, dua bulan kemudian atau satu tahun kemudian anda memberi arahan lagi.
“Kita tidak boleh buat begitu. Penetapan gaji tidak boleh berfungsi dengan cara sedemikian,” katanya.
Dalam pada itu, Steven berkata, dengan dasar ekonomi inovatif kerajaan iaitu Kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan tahun lepas, ia menyaksikan bukan sahaja angka pelaburan yang tertinggi dalam sejarah, tetapi, peralihan yang sangat jelas kepada pelaburan dan pertumbuhan bernilai tinggi.
“Pada Mei tahun ini, tiga gergasi teknologi global telah mengumumkan pelaburan di Malaysia iaitu Microsoft, Google dan Bytedance. Jadi, dalam satu bulan itu, kita memperoleh hampir RM30 bilion hasil pelaburan berteknologi tinggi.
“Pada tahun lepas pula, Tesla, Amazon, Nvidia, Rongsheng, Geely, Intel dan Infineon, semua telah komited untuk datang serta meningkatkan pelaburan mereka di negara kita,” katanya.-UTUSAN











