MIC kecewa dipinggirkan Kerajaan Perpaduan 

MIC kecewa dipinggirkan Kerajaan Perpaduan 

S.A. Vigneswaran berucap merasmikan Persidangan Perwakilan MIC Melaka di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran melahirkan rasa kecewa kerana Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan didakwa tidak langsung memberi peluang kepada pemimpin parti itu untuk berada dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dakwa beliau, ramai dalam kalangan pemimpin MIC merasakan parti itu seperti dianaktirikan dan dipinggirkan untuk berada dalam Kerajaan Perpaduan tanpa memegang sebarang jawatan penting.

Beliau berkata, sepatutnya parti itu turut diberi peluang sama rata seperti rakan komponen yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, sewaktu MIC berada dalam gabungan BN sejak 72 tahun lalu, ramai pemimpin parti itu menyertai kerajaan Pusat dan memegang beberapa jawatan penting dalam GLC.

“Sejak Kerajaan Perpaduan memerintah negara, kita tidak lagi diberi peluang berada dalam kerajaan dan GLC. Ini sebenarnya penting untuk parti kita memperjuangkan nasib masyarakat India.

“Ini adalah perasaan dalam kalangan pemimpin MIC walaupun terdapat banyak GLC dan sebagainya tetapi kita tidak diberi peluang sedangkan ada dalam kalangan kita boleh dilantik.

“Sedangkan kepimpinan BN iaitu UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dapat memegang portfolio menteri dan sebagainya serta GLC. Ini adalah fakta, bukan setakat perasaan sahaja,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan MIC Melaka di Ayer Keroh, malam tadi.

Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata, beliau turut membayangkan MIC mungkin mendapat satu daripada 10 kerusi Parlimen yang ditandingi calon dari parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, ini berikutan keputusan yang dibuat iaitu kerusi-kerusi yang  dimenangi pada PRU dan pilihan raya negeri (PRN) harus dipegang oleh rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan sedangkan sebelum ini parti itu bertanding di 10 kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pada pandangan kita, ini adalah tidak adil sedangkan UMNO boleh mendapat kerusi yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas. Jikalau itu adalah keputusannya, memang MIC hanya ada satu kerusi pada PRU16 nanti,” ujarnya.

Katanya, sekiranya tiada perubahan selepas pelbagai rundingan dilakukan dengan pucuk pimpinan BN, MIC berpendirian akan membuat keputusan yang berpihak kepada kepentingan parti itu selepas Perhimpunan Agung MIC pada 15 September nanti. 

Beliau turut mengakui memang ada tekanan daripada penyokong dan pemimpin akar umbi mengenai masa depan MIC bersama BN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×