KUALA LUMPUR: MIC kekal sebagai parti teras dalam Barisan Nasional (BN) meskipun timbul desas-desus mengenai permohonan mereka untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pimpinan MIC sendiri telah menafikan dakwaan bahawa mereka memohon untuk menyertai blok pembangkang itu.
“Setakat ini, MIC masih merupakan parti komponen dalam BN dan tidak pernah menyatakan hasrat untuk keluar secara rasmi.
“Walaupun terdapat surat yang dihantar kepada PN, mereka menafikan pernah membuat permohonan untuk menyertai gabungan berkenaan biarpun dokumen itu seolah-olah menunjukkan sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) ke-46 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dilaporkan berkata, MIC kekal bersama BN buat masa ini susulan perubahan kepemimpinan dalam PN.
Beliau berkata, keputusan untuk memperluas kerjasama dengan PN dibuat pada Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) tahun lalu ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin masih memegang jawatan Pengerusi PN.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengingatkan semua parti komponen BN agar tidak mengkhianati gabungan berkenaan, sebaliknya terus mengutamakan semangat setiakawan.
“Kita mesti menunjukkan kesetiaan yang sama di depan dan di belakang, siang mahupun malam. Itulah erti setia sebenar.
“Bukan seketika mahu keluar (BN), kemudian ingin menyertai parti lain dan selepas itu berpatah balik. Itu bukan setia.
“Saya tidak merujuk kepada mana-mana individu atau parti. Pihak lain tidak perlu merasa terancam, sebaliknya terus bersama kita dengan penuh keyakinan dan keikhlasan tanpa pengkhianatan.
“Apabila susah mencari kita, apabila sudah selesa melupakan kita, itu bukan kawan dan bukan juga kesetiaan, sebaliknya hanya mengambil kesempatan. UMNO dan BN tidak akan bekerjasama dengan pihak yang bersikap sedemikian,” katanya. – UTUSAN










