KLANG: Mahkamah Tinggi hari ini mengenakan hukuman penjara 36 bulan dan denda RM6,000 kepada Mohamed Shahriza Othman yang disabitkan bersalah atas pertuduhan menculik dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun pada 19 Julai lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Norliza Othman selepas memanggil kes tersebut untuk semakan dan meneliti kertas pertuduhan, fakta kes, eksibit yang diterima masuk di Mahkamah Majistret serta nota keterangan supaya satu semakan dijalankan.
Pada 26 Julai lalu, Mahkamah Majistret mengenakan hukuman penjara 24 bulan dan denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayarnya selepas peniaga goreng pisang itu mengaku bersalah atas pertuduhannya.
Hakim Norliza dalam penghakimannya berkata, Mahkamah Tinggi dalam menjalankan kuasa semakan meneliti hukuman yang diberikan oleh Mahkamah Majistret dan mempertimbangkan sama ada hukuman diberikan adalah setimpal dengan kesalahan dilakukan responden.
Menurutnya, kesalahan dilakukan oleh responden (Mohamed Shahriza) adalah kesalahan culik selain perhatian diberikan kepada dua mangsa yang mana masing-masing berusia enam dan lapan tahun.
“Culik merupakan kesalahan yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi apabila ia dilakukan terhadap kanak-kanak masih kecil walaupun tempoh masa kehilangan mereka adalah sekitar dua jam, namun ia bukan sesuatu yang boleh diremehkan.
“Apa yang lebih penting walaupun dalam tempoh sesingkat itu, trauma ditanggung oleh seorang ibu apabila mendapat tahu anak kecilnya diambil oleh orang yang tidak dikenali menaiki kereta tanpa diketahui arah dan tujuannya pasi merupakan satu perkara yang tidak boleh digambarkan diterjemahkan dengan perkataan,” katanya ketika membacakan penghakimannya.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Shahriza, 31, didakwa menculik dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun daripada penjaga yang sah di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor dengan menaiki kereta Perodua Bezza miliknya, kira-kira pukul 6.30 petang.
Kesalahan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Dalam pada itu, beliau turut merujuk kepada siri penculikan dan pembunuhan kanak-kanak seperti Nurin Jazlin pada 20 Ogos 2007, Sharlinie Mohd. Nashar (Januari 2008), dan Muhammad Asmawi Jalaludin (Mac 2008).
“Mengambil kira faktor umur mangsa dalam kes itu, apalah daya mereka (dua kanak-kanak) untuk melawan jika diperlakukan dengan perkara tidak sepatutnya dan lebih malang sekiranya ditimpa musibah yang membawa kematian.
“Saya berpendapat hukuman yang dijatuhkan juga wajar bersifat deterrent, bukan sahaja kepada responden daripada terus mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak, tetapi kepada seluruh masyarakat khususnya potential offender bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap jenayah culik kanak-kanak,” jelasnya.
Justeru Hakim Norliza dalam prosiding semakan sabitan hukuman itu memutuskan semakan sebagai di bawah Seksyen 323, 325 dan 316(b)(i) Kanun Tatacara Jenayah mengusik hukuman yang diberikan oleh Mahkamah Majistret.
Beliau turut mengenakan tambahan empat bulan penjara jika bapa kepada dua anak itu gagal membayar denda RM6,000.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad manakala Mohamed Shahriza tidak diwakili peguam. – UTUSAN










