Ibu bimbang keselamatan anak lelaki di Kemboja

Ibu bimbang keselamatan anak lelaki di Kemboja

CHUAH Poh Aii (kanan) menunjukkan gambar anak lelakinya, Lum Wei Sheng yang dipercayai berada di Kemboja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang ibu kini hidup dalam kebimbangan selepas terputus hubungan dengan anak lelakinya yang dipercayai berada di Kemboja sejak September tahun lalu.

Chuah Poh Aii, 57, berkata, anak lelakinya, Lum Wei Sheng, 25, sebelum itu meninggalkan rumah mereka di Sungai Dua pada 26 Februari 2022 tanpa memberitahu ke mana dia akan pergi.

Susulan itu, Poh Aii berkata, dia membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya dua hari selepas itu.

Jelas wanita itu, dia bagaimanapun dimaklumkan menerusi aplikasi WeChat pada 1 Mac 2022 bahawa Wei Sheng telah pergi ke Kemboja untuk bekerja.

“Anak saya juga ada menghantar video-video dia berada di Kemboja pada hari berkenaan dan dia tidak pernah pulang selepas meninggalkan rumah.

“Kami ada juga berhubung beberapa kali menerusi aplikasi WeChat dan saya sendiri ada membuat laporan kehilangannya di sebuah akhbar dia pada 29 Ogos 2023.

“Sehinggalah pada 1 September 2023, anak saya secara tiba-tiba menghantar pesanan suara kepada saya dan beritahu bahawa dia sedang bekerja serta jangan mengganggu dia lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Gerakan Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Poh Aii, selepas kejadian tersebut sehingga ke hari ini, dia gagal berhubung dengan anaknya walaupun telah mencuba dengan pelbagai cara.

“Anak perempuan saya ada melihat dia (Wei Sheng) muncul dalam satu permainan ‘online’ (dalam talian). Dia cuba berhubung dengannya, namun, Wei Sheng terus menghilangkan diri selepas itu,”katanya yang bimbang dengan keselamatan anaknya di Kemboja kerana Wei Sheng tidak pernah keluar negara seorang diri.

“Saya syak dia berada di Kemboja dengan rakan-rakan lain tetapi dia tidak pernah maklumkan lokasi sebenar dia berada dan dia bekerja dengan siapa di Kemboja. Jadi, saya merayu kepada sesiapa yang ada maklumat mengenai anak saya agar berhubung dengan saya di talian 016-4377286,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Gerakan Pulau Pinang, Andrew Ooi berkata, pihaknya dan Poh Aii telah membuat laporan kepada pihak polis serta Kementerian Luar Negeri mengenai kehilangan Wei Sheng.

“Kami juga menghantar emel kepada Kedutaan Malaysia di Kemboja untuk memaklumkan mengenai Wei Sheng yang berada di negara itu, kami berharap dia berada dalam keadaan selamat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN