KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja mahu Malaysia kekal sebagai pemudah cara dalam konflik sempadan antara kedua-dua negara itu walaupun Malaysia sudah tidak memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tanggapan ASEAN gagal menangani isu serantau terutamanya apabila melibatkan pertikaian antara negara anggota adalah tidak benar.
Katanya, ASEAN di bawah kepimpinan Malaysia pada 2025, berjaya menyelesaikan pertikaian antara Kemboja dan Thailand.
“Malaysia dapat menjadi pemudah cara kerana kedua-dua buah negara mahu Malaysia. Bukannya semata-mata kerana Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun lalu.
“Sekarang ini kita bukan lagi menjadi Pengerusi ASEAN. Filipina mengambil alih sebagai pengerusi pada tahun ini, tetapi kedua-dua buah negara masih mahu Malaysia sebagai pemudah cara.
“Saya kata pada rakan sejawat saya, tulislah surat sebab kita bukannya nak sangat. Kita tidak mahu tiada beban digalas tetapi kedua-dua negara amat selesa dengan Malaysia,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai cadangan baharu Malaysia dari segi asas dan prinsip ASEAN selepas usaha penyelesaian konflik antara Thailand dan Kemboja yang cuba diselesaikan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dilihat gagal dari aspek keamanan berikutan gencatan senjata yang dicabul berkali-kali.
Sementara itu, Mohamad berkata, ASEAN memutuskan untuk tidak menghantar pemerhati dan tidak memperakukan pilihan raya yang dijalankan junta tentera Myanmar kerana tidak memenuhi syarat penyertaan bebas dan menyeluruh.
Katanya, Malaysia berpegang teguh kepada keputusan itu dan menekankan bahawa pendirian ASEAN, jelas dan konsisten.
“Pilihan raya Myanmar dijalankan secara berfasa dengan fasa ketiga dijangka berlangsung tidak lama lagi.
“Malaysia tidak menghantar pemerhati ke pilihan raya fasa pertama kerana proses itu tidak melibatkan penyertaan penuh dan bebas. Pendekatan ini selaras dengan keputusan ASEAN semasa Sidang Kemuncak Ke-47 pada Oktober 2025,” katanya.
Mohamad berkata, isu itu bukan sekadar masalah dalaman negara itu, tetapi menjadi isu serantau yang turut melibatkan pelarian Rohingya, isu sempadan serta peluang pekerjaan di negara jiran seperti Thailand dan Kemboja. – UTUSAN










